Herman Samsudeen
“Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak bermula 01.01.2010″ begitulah kata Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Mohd Zain Mohd Dom yang menjadi kambing hitam Kerajaan Barisan Nasional.
Sebelum ini, bila ada apa-apa kenaikan harga yang mengumumkannya adalah Menteri KPDNKK atau Perdana Menteri dan Timbalannya.
Tapi kali ini BN mengunakan KSU KPDNKK bagi memastikan rakyat tidak menyalahkan mereka. Bila rakyat marah, mereka akan kata ini keputusan Kementerian bukan keputusan BN.
Walhal pada awal tahun 2009 KSU KPDNKK telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan subsidi gula dan mendesak Pengilang meningkatkan pengeluaran.
Kementerian juga ada bercadang untuk menambahkan permit untuk memproses gula dalam negara. Namun segalanya berakhir dengan kenaikan yang begitu mengejutkan rakyat sempena Tahun Baru.
Apa jua yang BN ingin katakan sekarang, kenaikan ini membuktikan bahawa program pemulihan ekonomi Najib gagal.
Masalah kenaikan harga minyak kepada USD 80 setong pula, dijangka bakal ditangani oleh BN dengan menaikan harga minyak dipasaran tempatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Jawapan BN bahawa kenaikan harga barang ini sebagai bukti pemulihan ekonomi adalah satu jawapan untuk memperbodohkan rakyat, walhal kadar upah dan gaji tidak meningkat. Kadar pengangguran juga tidak banyak penurunannya. Malah pemborong dan penjual dihimpit oleh desakan harga pengilang yang kian mengaut untung dari polisi Kerajaan yang tidak seimbang kini.
Pengguna pula akan menjadi mangsa jika GST 4% dikuatkuasakan kerana ia akan melibatkan majoriti barangan pengguna. Sebelum ini GST 5% hanya melibatkan barang terpilih. Tetapi dasar yang kerajaan paksakan ini bakal mengubah trend pembelian pasaran tempatan.
Saya juga tidak fikir bahawa harga daging dan tenusu yang diimport dari Australia dan New Zealand akan jatuh dengan terlaksananya pakej perjanjian bebas FTA ASEAN New Zealand dan Australia mulai semalam 1 Januari 2010.
Kita sudah melihat banyak perjanjian FTA dilaksanakan, tetapi nilai pasaran temapatan tidak turun. Lihat sahaja kesan FTA dengan China, negara kita pula yang jadi pusat lambakan barang tidak berkualiti China dengan harga yang mahal.
Akhirnya KSU KPDNKK dan rakyat jadi kambing hitam. sedang pemimpin BN dan kapitalisnya sibuk mengaut untung dari poket rakyat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan