Jumaat, 13 November 2009

PAS akui wujud bai'ah laknat

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 4.02pm)


Bai'ah PAS menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, tetapi melibatkan "sumpah setia laknat" bagi mengelakkan risiko lompat parti, kata setiausaha agungnya.

Datuk Mustafa Ali berkata, bai'ah tersebut digunapakai di setiap negeri selewat-lewatnya sejak pilihan raya umum 1974 lagi apabila beliau kali pertama bertanding mewakili PAS.

Menurut Mustafa, lafaz bai'ah tersebut berbunyi:

"Wallahi, wabillahi, watallahi, bahawa saya (nama calon) yang diamanahkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bertanding bagi (nama pilihan raya dan kerusi) bersumpah dengan nama Allah, sama ada saya menang atau saya kalah dalam pilihan raya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini.

"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan parti ini, maka saya akan dilaknati Allah, para malaikat dan sekalian para pelaknat."

Mustafa mendedahkan teks bai'ah tersebut dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara pagi ini bagi menjelaskan hasil siasatannya terhadap dakwaan berlakunya bai'ah talak tiga yang menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak.

Beliau juga mempamerkan kepada media beberapa salinan bai'ah pemimpin kanan PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan surat sumpah yang ditandatanganinya sendiri bagi membuktikan perkara itu.

Bekas pengarah pilihan raya pusat PAS itu juga berkata, walaupun terdapat lafaz sedemikian yang digunapakai, PAS juga mengenal pasti terdapat juga "dua kes terpencil" di Selangor yang menggunakah kandungan bai'ah yang berbeza.

Menurutnya, satu kes tersebut melibatkan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai'ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkan seorang lagi pemimpin PAS di Selangor yang terlibat menggunakan bai'ah tersebut yang didakwanya berlaku di luar pengetahuan pemimpin atasan PAS.

Ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan disiplin terhadap Khalid kerana mengamalkan bai'ah yang berbeza, Mustafa berkata:

"Saya sudah peringatkan. Apa yang telah berlaku itu, lain kali jangan buat lagilah."

Beliau juga berkata, bai'ah yang melibatkan lafaz cerai taklik "tidak betul dan salah daripada sudut agama" kerana boleh menyebabkan penceraian berlaku tanpa pengetahuan isteri.

"Isteri tidak tahu pun (bai'ah cerai). Jadi bagaimana hendak menghukum isteri pada sesuatu yang dia tidak buat dan dia tak tahu?" katanya.

Menjelaskan prosedur bai'ah yang digunakan PAS, Mustafa berkata, setelah mendapat watikah daripada parti untuk bertanding, kesemua calon berkumpul di satu tempat untuk berbai'ah di hadapan seorang saksi.

Prosedur ini pada kebiasannya dipantau oleh pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing, tambahnya.

Bai'ah diamalkan oleh pelbagai kumpulan Islam di serata dunia, seperti tarikat sufi dan pergerakan dakwah, tidak tertakluk dalam parti politik semata-mata.

Sumpah setia tersebut terbahagi kepada dua: bai'ah kubra (besar), aku janji kepada khalifah dalam empayar Islam dan bai'ah sughra (kecil) untuk menguatkan kesepakatan dalam melakukan sesuatu.

Menurut ulama, bai'ah diharuskan dalam Islam selagi tidak melibatkan perkara-perkara mungkar dan haram di sisi agama.

Tiada ulasan: