Isnin, 23 November 2009

Nasib 28 jemaah haji terkandas diketahui hari ini

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Nasib 28 jemaah haji yang terkandas di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya ekoran masalah kuota hanya dapat ditentukan esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Tabung Haji (TH) sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka walaupun jemaah tersebut bukan di bawah kelolaannya.

‘‘Kita doakanlah, esok baru boleh saya beri jawapan, hari ini kita usahakan yang terbaik untuk membantu mereka walaupun semalam adalah penerbangan terakhir ke Tanah Suci.

‘‘Masalah ini berpunca ekoran agensi yang mengendalikan jemaah itu menambah bilangan kuota, sedangkan kita sudah memberikan kuota dengan secukupnya,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Tilawah dan Khatam al-Quran Murid-Murid KAFA Peringkat Kebangsaan 2009 di Masjid Putra di sini hari ini.

Mashitah mengulas kejadian 40 jemaah haji yang mendaftar dengan sebuah agensi dari Terengganu gagal diterbangkan ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, 12 orang daripada kumpulan itu berjaya diterbangkan ke Tanah Suci semalam.

Menurut Mashitah, apa yang mengejutkan pihaknya adalah apabila semakan dibuat, terdapat di kalangan jemaah tersebut yang baru mendaftar untuk ke Tanah Suci, tiga hari lalu.

‘‘Ini tidak sepatutnya berlaku, apabila agensi ini timbulkan masalah, nama baik TH dikaitkan sedangkan kita hanya membantu.

‘‘Mana yang sempat kita lepaskan (diterbangkan), kita lepaskan kerana terdapat kekosongan setelah terdapat jemaah tidak dapat pergi pada saat-saat akhir,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, biarpun jemaah tersebut bukan di bawah kelolaan TH, mereka diberikan bantuan tempat penginapan di Kompleks Tabung Haji selain diberikan makanan dan minuman percuma.

‘‘Ini kita lakukan atas dasar ihsan dan perikemanusiaan memandangkan mereka sudah sampai di sini.

‘‘Yang sedihnya, pihak agensi langsung tidak nampak muka dan berikan keterangan kepada jemaah haji tersebut,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, mana-mana agensi yang melanggar etika akan dikenakan tindakan denda, lesen digantung dan syarikat tersebut disenaraihitamkan.

Beliau menasihatkan kepada para jemaah agar memilih agensi yang benar-benar berwibawa dan mempunyai rekod yang baik.

‘‘Biasanya jemaah memilih agensi kerana berasakan perkhidmatan yang diberikan adalah lebih baik.

‘‘Ini kerana mereka membayar lebih selain dijanjikan giliran lebih awal untuk tunaikan haji,’’ katanya.

Dalam hal ini kata Mashitah, TH akan memberikan keutamaan kepada warga emas atau mereka yang mempunyai sebab tertentu untuk mendapat giliran lebih awal.

‘‘Kita tidak paksa ikut muasasah tetapi pilihlah agensi yang tidak mempunyai masalah.

‘‘Jangan mudah terpedaya dengan janji bahawa tiga hari daftar sudah boleh pergi, ini tidak mungkin,’’ katanya.

Tiada ulasan: