Rabu, 11 November 2009

Mampukah TM jadi pembekal jalur lebar terbaik Malaysia?

Kapten (B) Othman Inayatullah


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan berjuta-juta tahniah kepada TM Berhad kerana mendapat peruntukan yang besar dalam belanjawan 2010 untuk membangunkan dan membekalkan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kos RM11.3billion(RM2.4billion dari kerajaan dan 8.9billion dari TM Berhad).

Memandangkan peruntukan yang disalurkan kepada TM Berhad yang merupakan salah satu syarikat milik kerajaan dan merupakan syarikat tunggal perkhidmatan talian telefon (line phone) serta perkhidmatan internet talian jalur lebar (line internet) di Malaysia ini menunjukkan bahawa TM Berhad diberi peranan untuk menjadikan rakyat Malaysia celek IT.

Namun begitu, dewasa ini perkhidmatan TM Berhad sering dipertikaikan terutama sekali perkhidmatan internet jalur lebarnya. Ini adalah pengalaman saya dan apa yang saya alami sekarang dan sebelum ini.

Saya merupakan pelanggan TM samada perkhidmatan telefon mahupun internet jalur lebar. Untuk perkhidmatan internet saya mulai melanggan perkhidmatan internet dail 1515 pada tahun 1999 lagi iaitu semasa saya di Sungai Petani.

Walaupun dengan kelajuan 56.6kbps, saya tidak pernah mengalami gangguan perkhidmatannya dan ianya berstatus memuaskan. Pada tahun 2000 saya berpindah ke Pulau Pinang dan ianya mengambil masa 2 minggu untuk membuat pemasangan telefon dan internet dail.

Pada tahun 2002 saya berpindah ke Sungai Buloh Selangor, saya telah memohon pemasangan telefon dan mempertingkatkan talian internet saya dari internet dail kepada internet jalur lebar (streamyx).

Pemasangan dilakukan dalam tempoh 1 minggu daripada pemohonan saya. Pada mulanya perkhidmatan internet jalur lebar saya hanyalah 512kbps dan kemudian saya meningkatkannya kepada 1 Mbps.

Pada permulaannya perkhidmatan internet laju dan tiada gangguan tetapi mulai tahun 2008 perkhidmatan internet menjadi begitu perlahan dan sering terputus. Setiap kali terputus saya akan menghubungi TM Berhad untuk mengetahui keadaan sebenar gangguan. Apa yang diajarkan kepada saya adalah putus talian telefon dan sambung semula tetapi ianya tidak membantu sepenuhnya.

Saya melanggan perkhidmatan internet pada 1Mbps tetapi yang mampu digunakan kurang dari 512kbps. Pada tahun 2008 saya telah menambah satu lagi perkhidmatan internet jalur lebar Streamyx Combo pada kelajuan 1 Mbps dengan bayaran perkhidmatan RM110.00.

Pemasangan dilakukan di Pusat Hentian Kajang yang terlalu hampir dengan Cyberjaya tetapi perkhidmatan yang dibekalkan lebih teruk daripada perkhidmatan di Sungai Buloh. Untuk muat turun mengambil masa berjam-jam bahkan sering terputus. Adakah ini perkhidmatan yang terbaik TM Berhad kepada para pelanggan beliau?

Pada bulan Julai 2009 saya telah berpindah ke Perlis dan pada 21 Julai 2009 saya telah ke kedai TM Kangar untuk membuat pemindahan telefon dan internet saya dari Selangor ke Perlis pada masa yang sama saya telah menamatkan perkhidmatan telefon dan internet rumah di Sungai Buloh.

Talian yang ditamatkan adalah No Akaun: D91798-221-0409; No Akaun Streamyx: 20060-241-100-106. Namun sungguh malang sehingga ke hari ini saya masih belum mendapat perkhidmatan talian telefon mahupun internet yang satu lagi.

Saya telah dihubungi oleh pihak TM Berhad yang memaklumkan kepada saya bahawa talian pemindahan saya tidak boleh dipasang kerana “port” telah penuh. Beliau menasihatkan saya menamatkan talian tersebut.

Adakah nasihat ini menguntungkan saya selaku pelanggan mereka? Untuk pengetahuan pihak TM Berhad, rumah saya telah terpasang dengan bilik saluran telefon. Adakah masih memerlukan “port”.

Apabila Menteri Kewangan mengatakan bahawa TM Berhad diberi peruntukan untuk mempertingkatkan perkhidmatan internet jalur lebar kelajuan tinggi iaitu 10Mbps serta memacu lagi celek IT saya mula tersenyum dan tertanya adakah semua rumah di Malaysia ini boleh mendapatkan perkhidmatan talian telefon dan internet bila-bila masa.

Apa yang berlaku pada saya, saya boleh mengatakan bahawa TM Berhad masih belum mampu memberi perkhidmatan talian telefon mahupun internet kepada seluruh rumah di Malaysia sekiranya mereka memerlukannya.

Contoh paling mudah adalah saya yang tinggal di Perlis iaitu negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan negeri bawah pentadbiran BN masih lagi belum mampu pihak TM Berhad membekalkan perkhidmatan talian telefon mahupun internet. Saya tidak tinggal di negeri Pantai Timur mahupun Sabah dan Sarawak atau Negeri PR.

Oleh itu secara kesimpulannya adakah pihak TM Berhad mampu membekalkan internet jalur lebar kelajuan tinggi pada seluruh rakyat Malaysia sedangkan untuk menambah atau menaik taraf “port” menjadi beban yang besar kepada mereka.

Untuk pihak TM Berhad sekiranya menanggap ini satu tuduhan atau fitnah, pihak tuan boleh menghubung saya di 012-7276526 atau othatiah@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .

Untuk TM Berhad lupakan dulu 10Mbps tetapi tumpukan penyelesaian masalah pelanggan anda dahulu kerana kamu masih belum punya kemampuan dan kurang aktif serta kurang produktiviti. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: