Khamis, 5 November 2009

Kementerian Pelajaran kena jelas isu SK Sri Perak

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran diminta menjelaskan ke mana perginya peruntukan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perak, di Bandar Baru Sentul, yang dibatalkan, walaupun telah diluluskan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan pembatalan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangi kepentingan rakyat untuk mendapat suasana pendidikan selesa.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata perkara itu akan dibawa ke Parlimen.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran telah meluluskan projek untuk lot 1333 seksyen 85A. Sekolah itu dicadangkan tujuh tingkat dan mempunyai 30 bilik darjah.

“Saya mahu tahu mengapa ia dibatalkan, sedangkan tapak baru telah dikenal pasti dan papan tanda projek yang mengatakan ia dijangka siap 30 September turut didirikan dan ke mana peruntukannya itu disalurkan?," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan projek itu semalam.

Bersamanya ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' lo Ghazali, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman dan Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, Ishak Surin.

Sinar Harian pernah memaparkan isu pembatalan projek itu selepas Ishak menghantar memorandum kepada Pengarah Pelajaran Pendidikan Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak, pada 26 Oktober lalu, meminta kementerian memandang serius nasib guru dan murid yang tidak selesa di bangunan sekolah sedia ada.

Sekolah itu terletak di bawah blok rumah pangsa 17 tingkat, milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sejak lebih 20 tahun lalu.

Mahfuz berkata beliau difahamkan, projek itu dibatalkan disebabkan bantahan penduduk kawasan itu yang mendakwa ia akan hadkan kawasan letak kenderaan mereka.

“Sekiranya tapak tersebut tidak sesuai, Kementerian mesti mengadakan tapak lain untuk projek sekolah itu," katanya.

Beliau berkata persekitaran sekolah sedia ada tidak sesuai dengan suasana pembelajaran kerana ia mengganggu tumpuan guru dan murid kepada pelajaran.

Dalam kenyataan medianya, Ishak berkata, pihaknya akan memanjangkan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran untuk mengkaji semula pembatalan projek itu.

"Kami tidak akan teragak-agak melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Tiada ulasan: