Khamis, 12 November 2009

Dr Asri tawar hati ketuai Yadim

Jimadie Shah Othman


Selepas kontroversi hangat dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Dr Mohd Asri Zainul Abidin kini sudah tawar hati untuk mengetuai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

"Tidak usahlah. Saya tidak mahu pergi (ke Yadim)," kata bekas mufti Perlis itu.

Dr Mohd Asri diminta mengulas sama ada beliau masih berminat dengan jawatan yang dipertua yayasan berpengaruh itu setelah diura-urakan bakal menggantikan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad sejak penghujung bulan lalu.

Cadangan pelantikannya itu mendapat tentangan hebat PGSM dengan sokongan beberapa NGO Islam yang menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agung pertengahan bulan lalu.

Perselisihan dan konflik terbuka antara dua pihak itu mengheret pelbagai pihak termasuk penglibatan menteri, ahli politik BN dan pembangkang.

Dr Mohd Asri juga berhasrat memanjangkan isu pergeserannya dengan PGSM ke mahkamah.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau membuat keputusan tidak menyertai Yadim setelah mendapat pandangan banyak pihak.

"Saya lihat ada banyak bidang lain yang boleh saya sumbangkan untuk kerja-kerja dakwah," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Sementara itu, ditanya tentang perkembangan pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadapnya berhubung isu mengajar tanpa tauliah awal bulan ini, Dr Mohd Asri berkata beliau tidak pasti tentang perkara itu kerana tidak dimaklumkan.

"Kenyataan bahawa saya akan didakwa esok (Jumaat) itu berdasarkan kenyataan di media. Saya rasakan ini sebuah kenyataan yang ajaib.

"Siapa mereka untuk memberitahu bila saya akan didakwa? Adakah mereka pendakwaraya? Saya pun belum terima apa-apa makluman pun," katanya pagi ini.

Semalam, penolong pengarah perhubungan awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani dilaporkan berkata, kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Mohd Hidayat juga berkata, Jais akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes "berprofil tinggi".

Tiada ulasan: