UTUSAN ONLINE
LANGKAWI - Dilema kerajaan untuk menggantikan helikopter Nuri iaitu Sikorsky S61A dengan Eurocopter EC725 disebabkan kegawatan ekonomi mungkin selesai sekiranya pesawat Nuri dibaik pulih menerusi program pemodenan terbaru Airod Sdn. Bhd.
Ketua Projek Nuri Airod, Juanudin Rahmat Zainal Abidin menjelaskan, program pemodenan itu melibatkan pertukaran panel kokpit analog yang digunakan sekarang kepada panel kaca digital.
Selain itu katanya, program itu juga membabitkan penukaran kipas besi Nuri kepada kipas komposit yang lebih ringan dan kuat.
''Panel digital kokpit yang telah dibangunkan memberi lebih banyak paparan seperti radar cuaca serta bentuk muka bumi sementara kipas komposit pula berupaya mengangkat beban yang lebih berat.
''Dengan itu, Nuri mampu bertahan lebih lama sehingga 2020," katanya kepada pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang akan bermula esok.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ismail ketika menjadi Panglima Tentera Udara tahun lalu mengakui Nuri hanya mampu bertahan sehingga 2015.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pertukaran Nuri dengan pembelian 12 buah Eurocopter kerana proses baik pulih pesawat lama itu menelan kos yang tinggi tetapi tempoh surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter mengenai pembelian itu tamat Ogos lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun memberitahu, pembelian tersebut masih dalam kajian memandangkan negara terjejas akibat kegawatan ekonomi dunia.
Menurut Juanudin, masalah senggaraan pada Nuri yang menelan kos tinggi adalah kerana peralatannya semakin lapuk dan alat gantinya kini kurang dikeluarkan.
Katanya, penukaran kipas dan panel kokpit digital menjamin keselamatan Nuri dan kos senggaraan yang lebih murah.
''Selain mengatasi masalah barangan yang semakin lapuk, pertukaran panel digital kaca juga memastikan tugas juruterbang Nuri semakin mudah dan selamat," ujarnya.
Beliau yang telah 20 tahun bertugas menyenggara Nuri memberitahu, kira-kira 600 pesawat itu masih berkhidmat dengan angkatan tentera di seluruh dunia.
Ketika ini, terdapat 28 pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan