Selasa, 21 April 2009

PPP mesyuarat bincang tarikh pemilihan parti minggu ini

BERNAMA


SHAH ALAM: Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) akan bermesyuarat minggu ini bagi menetapkan tarikh pemilihan parti itu yang dijangka diadakan Jun ini.

Presidennya, Datuk M.Kayveas berkata pemilihan bagi jawatan tertinggi parti itu tahun ini dibuat berikutan permintaan pemimpin parti peringkat negeri baru-baru ini.

"PPP telahpun melepasi tempoh empat tahun selepas mengadakan pemilihan parti pada 2005 dan tahun ini adalah sesuai untuk mengadakan pemilihan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hampir 2,700 perwakilan cawangan akan memilih seorang presiden, seorang naib presiden kanan, tiga naib presiden dan 25 anggota majlis tertinggi.

Kayveas, yang mengambil alih kepimpinan parti pada 1993 dan mengekalkan jawatan itu untuk tiga penggal berkata beliau akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan itu.

Sementara itu, Kayveas berkata parti itu akan mematuhi keputusan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi BN sama ada untuk bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti.

Katanya Dewan Tertinggi BN tidak perlu mengadakan mesyuarat bagi memutuskan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu memandangkan konsensus boleh dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas atau emel.

Tiada ulasan: