Rabu, 22 April 2009

PKR dakwa KDN masih larang jual Suara Keadilan

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Kementerian Dalam Negeri masih menghalang pengedaran Suara Keadilan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membatalkan larangan tersebut awal bulan ini.

"Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib telah menarik balik penggantungan Suara Keadilan bersama akhbar milik Pas, Harakah.

"Pihak kami kesal kerana pihak Kementerian Dalam Negeri masih melakukan rampasan dan ugutan kepada pengedar kami di seluruh negara.

"Pagi ini, seorang pengedar, Hashim Bakar melaporkan Unit Penguat Kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran dan KDN," kata kenyataan Biro PKR dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, dalam rampasan yang dilakukan, Kementerian Dalam Negeri tidak menyatakan alasan secara khusus melainkan menyatakan bahawa penerbitan Suara Keadilan menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987).

"Beberapa pembaca juga menghubungi kami (jabatan pengarang) dan melaporkan para penjual akhbar di Taman Melawati terpaksa menjual Suara Keadilan secara sembunyi-sembunyi (di bawah meja) akibat ugutan Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Akhbar itu dibenarkan terbitan ekoran keputusan Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Tiada ulasan: