MALAYSIA KINI
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan tiga yang lain, untuk mengenepikan saman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat berhubung pembinaan patung Mazu di Kudat.
Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Yew Jen Kie berkata sama ada Chong atau Yayasan Amal Thean Hou Kudat, yang mana Chong sebagai pengerusi, mempunyai locus standi dalam saman itu, hanya boleh ditentukan menerusi bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan itu.
Peguam utama bagi para pemohon, Datuk Mohammad Shafee Abdullah memohon penggantungan prosiding bagi merayu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.
Bagaimanapun, peguam Chong, Ansari Abdullah meminta permohonan itu ditolak dan meneruskan perbicaraan yang telah bermula sejak 12 Januari, sehingga mahkamah rayuan memihak kepada pemohon.
Tetapi Mohammad Shafee menegaskan bahawa sekiranya perbicaraan diteruskan ia akan membazirkan masa dan wang dan oleh itu, meminta perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu permohonan pemohon di mahkamah rayuan yang mendapat bantahan Yew.
Pada 18 April, mahkamah mendengar permohonan untuk membatalkan permohonan Chong, Ketua Menteri Sabah ke-13 (2001) yang mendakwa bahawa Musa dan tiga yang lain, telah menyalahgunakan kuasa berhubung projek Mazu.
Mereka (pemohon) membantah bahawa Chong tidak mempunyai locus standi dalam saman itu memandangkan Yayasan Amal Thean Hou Kudat tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan oleh itu tidak mempunyai kesahan untuk mencabar keputusan bagi menarik balik kebenaran yang diberi oleh Lembaga Bandar Kudat kepada yayasan, untuk membina patung Mazu setinggi 88 kaki.
Mohammad Shafee mendesak supaya yayasan itu didaftarkan dengan ROS kerana ia merupakan keperluan yang ditetapkan undang-undang termasuk mendaftarkannya di bawah badan amanah swasta di mana Chong bertindak sebagai pemegang amanah dan bukan sebagai anggota.
Menurut Ansari, tidak terdapat keperluan yang ditetapkan undang-undang bahawa seseorang itu perlu mendaftar badan amanah di bawah Akta Pemegang Amanah atau Ordinan Penggabungan Pemegang Amanah, kecuali mereka mahu berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan