Jumaat, 3 April 2009

Pengundi hantu: PKR kecewa

SINAR HARIAN


SUNGAI PETANI - Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan rasa kecewa dengan penemuan lebih 2,000 pengundi hantu yang alamatnya did:aftarkan atas alamat tiga buah rumah di Taman Bandar Baru di sini selepas mengesan kewujudannya menggunakan Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP).

Dua daripada rumah berkenaan dihuni oleh dua keluarga Melayu, manakala sebuah lagi ditinggalkan kosong sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Fariz Musa berkata kewujudan alamat tersebut diteliti melalui senarai pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jelas menunjukkan lebih 50 orang dialamatkan pada satu rumah.

Bukti berkenaan lebih jelas apabila beliau bersama beberapa lagi ahli AMK meninjau sendiri rumah berkenaan dan menunjukkan keraguan.

“Inilah buktinya. Mengikut daftar pengundi yang terkini dikeluarkan oleh SPR, rumah ini didiami seramai 49 pengundi. Seperti mana yang kita tahu, rumah ini sudah lama ditinggalkan kosong.

"Dengan menggunakan SISMEP, PKR banyak menjejaki pengundi hantu di setiap kawasan pilihan raya. Kali ini AMK telah membuktikan bahawa pengundi hantu sememangnya wujud walaupun dinafikan oleh pihak tertentu," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan Rosnah Che Hassan 25, ketika ditemui menyatakan rasa kecewa apabila dia dimaklumkan di dalam daftar semakan pengundi, terdapat 56 pengundi yang menetap di rumahnya dan berbilang bangsa.

“Di rumah ini cuma mak, bapa, adik dan saya sahaja yang ada. Kami mula tinggal di sini sejak tahun 1990. Saya tidak tahu rumah ini digunakan untuk meletakkan alamat calon pengundi yang sebegitu ramai,” ujarnya.

Manakala seorang lagi, merupakan pesara kerajaan dikenali Latif, 57, turut melahirkan rasa terkejut dengan kehadiran AMK ke rumahnya bagi menyatakan perkara ini pada hal hanya dua pengundi sahaja yang akan mengundi di Bukit Selambau pada 7 April ini.

“Saya amat kecewa apabila di maklumkan bahawa rumah saya di diami 42 orang pengundi. Ini tidak benar saya akan bersama PKR dan akan membuat laporan polis,” tegasnya.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda kira-kira jam 11.00 malam kelmarin dan AMK menyerahkan satu memorandum bantahan diserahkan kepada SPR yang diserahkan kepada Penolong Pegawai Pengarah pilihan raya, Nor Azman Nordin jam 3.00 petang semalam:.

Tiada ulasan: