Zulkifli Yahaya
Sekali menjadi kolumnis sebuah akhbar pembangkang terkemuka, Harakah, maka seringkalilah kita akan didatangi oleh individu-individu yang amat membenci gelagat para pemimpin parti rasuah yang kaya dengan pelbagai cerita onar, lalu merawikan bahan berita sensasi yang dikira dapat membantu melanyak para pemimpin parti berkuasa rapat ke lantai.
Namun kita banyak belajar dari pengalaman, tidak terlalu ghairah mengutip bahan mentah dari pesisir politik kedai kopi. Bukan kerana tidak mempercayainya tetapi pengalaman di bawah pemerintahan BN, nampaknya bahan bukti boleh diadakan dan ditiadakan sekelip mata.
Hari ini pendedahan dibuat melalui akaun bersumpah, esoknya muncul pula akuan bersumpah penafian. Hari ini sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat, esoknya bersidang media bersama Najib Tun Razak dengan dikelilingi berpuluh anggota polis pula.
Seminggu sebelum hari penamaan calon di Bukit Selambau, saya didatangi dua orang usahawanwanita yang mendakwa menjadi mangsa khianat seorang Ketua Puteri Umno di satu bahagian yang terletak di Utara Kedah. Saya didedahkan dengan laporan polis berjela-jela perihalkejahatan pemimpin Puteri tersebut oleh usahawan wanita tadi.
Mereka melakukan pelbagai perkara untuk menghalang usahawan wanita tersebut itu mendapatkan pinjaman Tekun, yang sedang diusahakan melalui seorang bekas Ketua Umno Bahagian yang memegang jawatan penting dalam Tekun. Puncanya, dua usahawan wanita tersebut bukan kroni mereka.
Mereka juga mengizinkan saya membaca SMS ugutan, maki hamun dan carutan yang didakwa dibuat oleh pemimpin Puteri tersebut. Teruknya akhlak mereka ... kembang tekak membaca SMS tersebut. Tetapi saya sekadar mengabaikannya kerana 'tiada selera' untuk menjamah isu-isu yang onar, kotor dan lucah.
Lagipun kerana beranggapan isu tersebut tidak terlalu besar untuk diangkat di 'medan pertempuran' Bukit Selambau. Isu yang berguni-guni dimiliki Pakatan Rakyat sudah cukup untuk memenangkan calon KeADILan jika ia berjaya disampaikan ke sasaran.
Sewaktu berlangsung pilihan raya kecil, saya dihubungi lagi oleh seseorang yang lain dengan cerita dan watak yang lain pula. Kali ini saya benar-benar tertarik kerana pelakon yang memegang 'watak jahat' itu adalah seorang pemimpin penting Puteri yang menang dalam pemilihan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Kemenangannya juga dipertikaikan kerana bukan rahsia dia hampir-hampir tersenarai bersama Ali Rustam. Ramai tertanya-tanya bagaimana dia melakukan 'silap mata' sehingga lembaga disiplin Umno boleh melepaskannya begitu mudah.
Bermesraan dengan suami orang
Kisahnya berlaku di kawasan Dun Bukit Selambau sehari selepas hari penamaan calon. Dia diserang oleh isteri seorang pegawai kerajaan yang geram melihat gelagat pemimpin Puteri itu sedang bermesraan dengan suaminya di Village Mall, Sungai Petani. Sebenarnya sudah sekian lama si isteri mengintip.
Habis tercengang para pengunjung Tesco yang terletak bersebelahan. Secepat kilat, berita tersebar ke seluruh negeri. Ia menjadi sebab jentera Puteri Umno Kedah lumpuh di Bukit Selambau.
Bukan pertama kali cerita seperti ini membabitkan pemimpin Puteri terbabit. Dulu heboh diperkatakan perihal hubungannya dengan seorang pemimpin Umno negeri sehingga beliau mendapat keistimewaan dalam kerajaan dan parti. Ia juga menjadi antara sebab tersungkurnya BN di Jelapang Padi.
Soalnya, apakah isu seperti ini akan menjatuhkan seseorang pemimpin dalam Umno atau BN? Harakah pernah beberapa kali membongkar kelakuan tidak bermoral seorang pemimpin Wanita Selangor.
Jika isu seperti ini berlaku di negara Barat, cukup untuk menjadi sebab pemimpin seperti itu jatuh terguling. Anehnya dalam Umno, dia terus melonjak naik. Dia memegang jawatan penting dalam Pergerakan Wanita dan dalam Perhimpunan Wanita Umno baru-baru ini mendapat undi yang sungguh lumayan.
Chua Soi Lek cuma seorang Naib Presiden parti semasa terbabit skandal seks, tetapi menjadi Timbalan Presiden selepas itu. Cara berfikir orang BN tidak sama dengan dunia di luar longkong tempurung mereka. Langsung berbeza.
Sebab itu jangan fikirkan sangat untuk jatuhkan tokoh tertentu dalam BN melalui 'isu skandal'. Karamkan dulu kapalnya, maka semua isi perutnya akan turut karam. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan