Isnin, 2 Februari 2009

Umno patut nafi pembabitan larikan dua Adun PKR

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Umno-BN seharusnya membuat kenyataan secara terbuka bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan penglibatan parti tersebut dengan kes kehilangan dua Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sekarang.

Demikian ujar Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar kepada Harakahdaily mengulas penglibatan Umno dan BN yang dikatakn 'menculik' dua Adun PKR sejak lima hari lalu.

"Saya menyeru kepada Umno-BN agar membuat penafian secara terbuka mengenai dakwaan penglibatan mereka dalam masalah yang boleh dikatakan pelik dan aneh ini," ujarnya.

Tegasnya, jika benar mereka ini tidak terlibat dengan andaian yang dibuat oleh sesetengah pihak, adalah lebih baik agar mereka membuat kenyataan secara terbuka.

"Keadaan yang mencemaskan banyak pihak ini menyebabkan timbul pelbagai spekulasi kerana kita tahu Umno kini tertekan dengan pelbagai isu-isu dalaman ditambah lagi dengan tekanan pentadbiran luaran yang kian goyah.

"Maka tidak hairanlah senario tersebut membuatkan mereka(umno) memaksa dua Adun yang hilang itu keluar daripada Pakatan Rakyat," tegasnya.

Jelasnya lagi, sekiranya tindakan Umno berjaya mendapat dua Adun tersebut masih tidak dapat membentuk kerajaan baru bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Ianya tidak akan mengubah apa-apa sebaliknya akan mencemarkan imej mereka sendiri," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat membuat perbandingan dengan tindakan yang diambil Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim yang menyertai KeADILan dan mengisytiharkannya secara terbuka.

"Bandingkan kedua-dua situasi ini dan lihat bagaimana terdesaknya Umno dalam selepas Umno Perak diambil oleh Timbalan Presiden Umno sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru," katanya lagi.

Pelbagai spekulasi timbul ekoran kehilangan dua Exco Kerajaan Negeri Perak, Othman Jailu dan Jamaludin Radzi sejak lima hari lalu.

Maka, tidak hairanlah jika Menteri Besarnya, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin membuat kenyataan dipercayai ini satu strategi jahat BN yang mahu mengambil kesempatan daripada kes rasuah dua Exco berkenaan yang akan dihadapkan ke mahkamah 10 Februari ini untuk 'memaksa' kedua-duanya mereka menyertai BN. - tmj_

Tiada ulasan: