Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
[DIKEMAS KINI]
KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersemuka hari ini - kira-kira sebulan sebelum pemilihan parti dengan masing-masing mahu menumpukan kepada pilihan raya kecil dan persaingan bersih.
Menurut Rafidah, beliau sedia dicabar oleh Shahrizat namun pada masa ini ingin menumpukan perhatian kepada dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung di Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April ini berbanding pemilihan Umno yang akan berlangsung bulan depan.
"Kita tahu beliau (Shahrizat) mahu bertanding, jadi saya tiada apa nak komen," katanya ketika diminta mengulas mengenai Shahrizat yang kini sah bertanding mencabar beliau bagi jawatan nombor satu itu, hari ini.
Pejabat Setiausaha Agung Umno semalam mengesahkan telah menerima surat penerimaan pertandingan jawatan Ketua Wanita dan penolakan bagi jawatan Naib Ketua dan ahli Majlis Tertinggi (MT) daripada Shahrizat.
Perkembangan itu sekaligus melayakkan calon tunggal yang sepatutnya menentang Shahrizat bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding.
Rafidah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Exco Wanita yang berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat Umno di sini.
Shahrizat yang turut hadir dalam mesyuarat itu bagaimanapun tidak kelihatan semasa sidang media kerana dikatakan perlu menghadiri mesyuarat pasca kabinet.
Ditanya mengenai kempen dalam Wanita, Rafidah berkata, beliau mahu melupakan kempen pemilihan parti kerana ingin menumpukan kepada dua pilihan raya kecil April ini.
"Saya sendiri tidak berkempen, banyak duduk di rumah dan persidangan Parlimen pun sedang berlangsung.
"Jadi bagi saya, kita lupakan kempen pemilihan parti ini kerana kita nak tumpu kepada kemenangan di dua kawasan pilihan raya. Itu yang paling utama dan itulah yang kita tumpukan dalam mesyuarat hari ini," katanya.
Ditanya hubungannya dengan Shahrizat berikutan pertandingan merebut jawatan antara mereka, Rafidah berkata, tiada masalah antara mereka kerana bagi beliau, hubungan peribadi tidak boleh dilibatkan dalam bidang politik.
"Saya ini jenis manusia yang dengan pembangkang pun tiada masalah, apatah lagi dengan naib saya.
"Dalam politik, tiada hubungan peribadi, semuanya hubungan politik," katanya.
Ditanya sama ada pertandingan antara beliau dan Shahrizat akan membawa perpecahan dalam parti, Rafidah berkata tidak perlu ada pasukan berbeza dalam Wanita kerana semua ahli berada dalam sayap yang sama.
"Janganlah berjuang bermati-matian untuk menang sampai tidak bertegur atau berpecah...tidak baik.
"Ia (pertandingan parti) adalah proses biasa. Yang menang teruskan kerja dan yang kalah juga kena teruskan dan jangan merajuk. Itu prinsip yang mudah," katanya.
Rafidah berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan pemimpin parti menyokong calon tertentu pada pemilihan parti nanti.
Beliau berkata, sesi pengenalan calon-calon yang bertanding dalam sayap Wanita telah pun bermula dan akan berlangsung sehingga 15 Mac ini di seluruh negara.
Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui sebelum mesyuarat tersebut berkata, beliau mahu Wanita menjalankan kempen dengan cara yang berhemah dan menghormati sesama mereka.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku bagi jawatan Ketua Wanita tetapi kempen perlu dijalankan secara berhemah dan terhormat.
"Insya Allah, kita semua akan rapat balik selepas mesyuarat agung itu nanti.
"Selain itu, bila bercakap, janganlah terlalu lepas...kita kena simpan banyak," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kamilia yang bakal menggantikan jawatannya.
Katanya, kemenangan Kamilia tidak perlu dipersoalkan kerana Kamilia adalah pemimpin berpengalaman yang akan membawa visi dan misi Wanita ke tahap yang lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan