BERNAMA
KUALA LUMPUR - Majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjangka penguncupan yang teruk ekonomi tempatan, terutamanya dalam separuh pertama tahun ini, demikian menurut HSBC Bank Malaysia.
Akibatnya, PKS tidak mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka pada 2009, kata Pengarah PKS, Insurans dan Pelaburan bank itu, Peter Cheah.
Ini, katanya, didedahkan di dalam kaji selidik separa tahunan Pemantauan Keyakinan Perniagaan Kecil HSBC Asia yang dikendalikan dalam suku keempat 2008 oleh firma penyelidikan TNS.
Dalam kaji selidik meliputi 3,000 syarikat di Asia, di mana 300 daripadanya merupakan syarikat Malaysia, responden diminta memberikan tinjauan masa depan masing-masing bagi separuh pertama 2009.
"Majoriti PKS Malaysia menjangka penguncupan ekonomi, dengan hanya 13 peratus menjangka keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan meningkat dan 31 peratus menjangka tahap yang sama seperti 2008," kata Cheah pada sidang akhbar untuk mengumumkan dapatan kaji selidik itu.
Beliau berkata, 20 peratus daripada PKS Malaysia menjangka pertumbuhan akan perlahan sehingga empat peratusan mata, dan 36 peratus menjangka pertumbuhan akan perlahan lebih daripada empat peratusan mata.
Cheah berkata, 30 peratus daripada PKS merancang mengurangkan perbelanjaan, 48 peratus merancang mengekalkan paras yang sama seperti tahun lepas, dan 22 peratus merancang meningkatkan perbelanjaan.
Mengenai tinjauan masa depan perdagangan dengan China, katanya, 33 peratus daripada PKS Malaysia menjangka jumlahnya akan kekal sama seperti tahun lepas, 49 peratus menjangka jumlah akan merosot dan hanya 17 peratus menjangka perdagangan akan berkembang.
Bagi perdagangan dengan Asia keseluruhannya, 19 peratus daripada PKS Malaysia menjangka pertumbuhan PKS, 31 peratus menjangka jumlah yang serupa tahun lepas dan 50 peratus menjangka penurunan, kata Cheah.
"Bagi perdagangan dengan seluruh dunia, 53 peratus menjangka penurunan, 30 peratus percaya jumlah akan serupa dan 16 menjangka ia akan meningkat," katanya.
Kaji selidik itu juga mendapati bahawa PKS di Bangladesh, Vietnam dan India adalah paling optimis manakala mereka di Singapura, Taiwan dan Hong Kong adalah yang paling tidak optimis. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan