BERNAMA
[DIKEMAS KINI]
KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Maznah Mazlan patah tangan kirinya setelah kenderaan yang beliau naiki dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, Maznah yang menaiki kenderaan tersebut bersama pengawal keselamatannnya dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu setelah menghadiri satu majlis penyampaian sumbangan di Batu Rakit sebelum terlibat dalam kemalangan yang berlaku berhampiran pintu masuk ke kem Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am itu.
Ketua Jabatan Kententeraman Awam dan Trafik Terengganu, Supt. Farid Mahmud berkata, ketika kejadian kenderaan Mitshubishi Pajero milik Jabatan Kesihatan itu yang dalam perjalanan menuju ke Besut dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang berhenti secara mengejut di hadapannya di Jalan Tengku Ampuan Intan Tengah Zaharah sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang dinaiki Maznah itu.
"Ketika cuba mengelak Mitsubishi Pajero berkenaan telah masuk ke laluan kanan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dinaiki Maznah," katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Ekoran kejadian itu, katanya Maznah bersama tiga orang lagi yang menaiki kenderaan yang sama dan dua orang yang menaiki kenderaan Jabatan Kesihatan telah dibawa ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, setelah ujian sinar X dijalankan petang ini, Maznah disahkan patah tangan kirinya.
"Beliau mungkin akan dimasukkan ke wad sehari untuk menerima rawatan lanjut bergantung kepada keadaan kesihatan," katanya.
Tiga orang menaiki kenderaan yang sama dengan Maznah iaitu Ketua Kerani JPS Kuala Terengganu Norizan Salleh, 50, pengawal keselamatan Maznah Mohd Azhar Kamaruddin, 25, dan pemandu JPS Mohammad Muda, 55 mengalami cedera ringan, masingmasing di dahi, terseliuh peha kiri dan dada.
Dua kakitangan Jabatan Kesihatan iaitu Pegawai Pendidikan Kesihatan Nurul Ashikin Abdullah, 41, dan pemandu Unit Pendidikan Kesihatan Mohd Suhaimi Abdullah juga mengalami cedera ringan.
Turut kelihatan melawat Maznah di HSNZ adalah suaminya, Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri Toh Chin Yaw dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan