Khamis, 19 Februari 2009

BN tidak cadang adakan p'raya di Perak

MALAYSIA KINI


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak tidak bercadang untuk mengadakan pilihanraya sebagai cara untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, tetapi akan terus memerintah demi rakyat di negeri berkenaan.

"Dalam situasi yang ada sekarang ini, saya fikir lebih baik sekiranya kerajaan BN terus dengan pemerintahannya. Buatlah apa yang boleh untuk rakyat negeri Perak," kata Perdana Menteri.

Katanya, kedudukan kerajaan negeri juga boleh stabil, dan yang penting, apa yang diharapkan oleh rakyat akan dapat dilaksanakan, lapor Bernama.

Sehubungan itu, beliau menganggap tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri persidangan dewan itu selama 18 bulan sebagai membantah dan menentang keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Turut digantung daripada menghadiri sidang dewan ialah enam exco kerajaan negeri BN. Mereka digantung selama 12 bulan.

Perdana Menteri berkata kerajaan negeri Perak bagaimanapun akan terus berfungsi dan menjalankan pentadbiran sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat dan sebagai kerajaan yang sah.

"Speaker tidak boleh menghalang. Pelantikan MB dan exco diperkenan oleh Sultan dan (mereka) mengangkat sumpah di hadapan baginda. Mereka dilantik secara sah.

PM: Ia satu muslihat...

"Maka, bagi saya, tindakan speaker itu boleh disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Bagi Kenak-kanak gaza di kediamannya, Seri Perdana, di Putrajaya hari ini.

Abdullah berkata tindakan speaker itu sebagai satu cara untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional di Perak.

"Kita tahulah apa dia punya rancangan dan muslihat sebenarnya. Apabila dewan bersidang dan jika exco itu tidak boleh hadir, bermakna pihak BN tinggal 21 ahli, dan jika ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Ia satu muslihat...tidak ada niat baik, cuma niatnya untuk menggulingkan kerajaan BN yang telah diwujudkan," katanya.

Abdullah berkata tindakan Sivakumar itu tidak disenangi rakyat negeri Perak.

"Mereka tentu sekali tidak senang hati dengan apa yang berlaku sehingga ke peringkat ini. Dulu bila mereka (pembangkang) menang, kita beri jalan kepada mereka untuk memerintah. Apabila situasi telah berubah dan sokongan kepada BN telah melebihi, maka BN pula yang akan memerintah.

"Saya harap kerajaan tidak akan diganggu dengan permainan politik untuk apa jua niat dan tujuan mereka itu," katanya.

Tiada ulasan: