MSTAR ONLINE
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengumumkan menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti bulan depan.
Salleh berkata, keputusan itu dibuat memandangkan ramai calon dari Sabah yang melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan dari 24 hingga 28 Mac ini.
"Saya mengambil keputusan untuk tidak menawarkan diri supaya peluang pemimpin Umno Sabah untuk menduduki kerusi MT lebih cerah.
"Tumpuan saya sekarang ialah untuk membantu mengukuhkan Umno bahagian Kota Belud dan juga memainkan peranan sebagai anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Salleh yang kembali menerajui Umno bahagian Kota Belud selepas menang pada pemilihan parti peringkat bahagian tahun lepas, berkata beliau sudah menerima surat pemberitahuan dan borang penerimaan pencalonan dari ibu pejabat Umno baru-baru ini.
Katanya, borang penerimaan itu sepatutnya dikembalikan ke ibu pejabat Umno sebelum atau selewatlewatnya 20 Februari ini.
Berikutan keputusan itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) berterima kasih kepada semua bahagian yang mencalonkannya.
Salleh turut menyambut baik ketetapan Badan Perhubungan Umno negeri yang menyokong mana-mana pemimpin Umno Sabah yang layak dan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan MT Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan