KLPOS.COM
IPOH: Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum berhimpun dalam satu rapat umum raksasa di Padang Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini , bagi menyatakan sokongan mereka kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah atas pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.
Perhimpunan itu yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini bersama Barisan Nasional (BN) Perak turut dihadiri oleh beberapa pemimpin Umno termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Perak Zainol Padzi Paharuddin dan Ketua Pemuda MIC G. Shamugavelu.
Selain ucapan daripada wakil parti komponen BN dan NGO, para hadirin turut melaungkan 'Daulat Tuanku'.
Mereka juga melaungkan desakan supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang dilaporkan menyatakan hasratnya menyaman Sultan Azlan Shah.
Mereka turut mendesak bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menghentikan segala tindak-tanduk menderhaka titah Sultan Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan