Safar Jumaat
SEBELUM ini ada dua tiga artikel sudah ditulis, menyentuh secara langsung politiking Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim. Tebaru, dalam satu wawancara dalam sebuah media cetak arus perdana, Rais yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan masih bercakap soal politik wang.
"Sebab itu, saya masuk arena (bertanding jawatan Naib Presiden), untuk cuba menyerlahkan mesej politik tanpa wang, politik tanpa membeli undi. Ini perlu diterima Umno. Jika saya tidak menang dalam pertandingan kali ini, yakinlah saya bahawa orang yang tidak main politik wang, tidak ada peranan dalam Umno pada masa depan. Itulah rumusan saya. Saya agak lama dalam parti yang melihat perkembangan Umno ini," kata Rais dalam wawancara berkenaan.
Kalaulah wawancara ini dibaca oleh para perwakilan, seramai 2,600 orang yang bakal mengundi calon-calon yang bertanding, mereka tentunya akan 'menghukum' Rais dengan hukuman yang amat berat. Bayangkan, dia sudah siang-siang memberitahu, kalau dia kalah, bukan dia yang salah, tetapi perwakilan tidak kenal 'yang mana kaca dan yang mana permata'.
"Pilihlah aku"
Rais ingin memberitahu semua orang, khususnya perwakilan, bahawa dia permata "... pilihlah aku kerana hanya aku yang paling bersih di antara ramai-ramai calon." Malangnya, tiada siapa yang nampak Rais ini ersih, kecuali mereka ini melihat dia adalah bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang pernah berusaha mahu mengalahkan BN dan Umno, khususnya di Negeri Sembilan.
Empat tahun lalu, 2004, Rais yang kepingin menjadi Naib Presiden, membatalkan hasratnya bertanding dengan cerita yang sama, "saya bersih, saya tidak main duit". Dengan lain perkataan, Rais mahu memberitahu, semua yang menang kerana politik wang dan yang bersih hanya dia seorang sahaja - tanpa rekod kotor.
Walaupun Rais mengaku dia orang lama dalam Umno, rajin memerhati perjalanan Umno, tetapi hakikatnya, dia bukanlah seseorang yang begitu diingini oleh para perwakilan. Ini kerana di sebalik dakwaan Rais dia yang bersih, sebenarnya orang luar nampak dia bersih atau tidak. Keterlaluan kalau mengatakan dia kotor tetapi, mereka yang enggan menyokongnya mempunyai seribu alasan, bukan kerana tidak menjamah duitnya sahaja menjadikan mereka enggan menyokongnya.
Kalau Rais kata kalau dia kalah bererti orang tidak mahu menerimanya kerana tidak ada politik wang, apakah cakap-cakapnya ini ada kaitan juga dengan cakap-cakap Tengku Razaleigh Hamzah, yang tidak mendapat cukup pencalonan untuk menawarkan diri bertanding kerusi Presiden Umno, kerana tidak mahu menyogok perwakilan?
Jika empat tahun dulu, Rais memboikot pemilihan Umno, kenapa hari ini Rais kepingin untuk masuk arena semula? Adakah kerana Rais merasakan dia bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, seperti apa yang pernah disebutkan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad? Baguslah kalau Rais merasakan faktor umurnya tidak membolehkan dia pergi lebih jauh tetapi, menyindir dan memperli orang lain terlibat dengan politik wang, adalah dakwaan yang tidak sepatutnya.
Cerita perbezaan lima undi menyebabkan dia kalah kerusi Naib Presiden dalam tahun 1981 di belakang Allahyarham Dato' Harun Idris, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad adalah cerita lapuk yang tidak perlu diulang-ulang. Rais memang tidak layak menang ketika itu jika dibandingkan dengan Tok Harun, Ku Din dan Ayah Wang. Lima undi ketika itu, cukup besar ertinya kerana jika Rais menang, barangkali dia tidak merasa kerusi Timbalan Presiden S46.
Lebih awal masuk Umno
Tetapi bila dia berada dalam S46, kedudukannya sebagai Timbalan Presiden di bawah Ku Li meninggalkan Tok Harun yang dilihat waktu itu sepatutnya menjadi Timbalan Presiden S46, di bawah Ku Li. Rais nampak atau tidak ketika itu? Malahan, antara Rais dengan Tok Harun, Rais lebih awal masuk Umno kembali sedangkan Tok Harun sampai mati tidak kembali ke pangkuan Umno.
Dari segi prinsipnya, orang Umno amat mengkagumi Tok Harun. Tetapi apabila Rais bertanding menentang calon-calon BN di Negeri Sembilan, sama ada peringkat DUN dan Parlimen, bukan sedikit yang terluka. Mereka semuanya mungkin susah memaafkan Rais tetapi 'luka yang sembuh, parut tetap ada'.
Inilah bezanya Rais dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Tan Sri Aziz. Nazri enggan bertanding dan tidak pun mahu bercakap soal politik wang ataupun kelemahan orang lain yang menyebabkan beliau tidak menang. Malah, empat tahun lalu, Nazri tidak mahu bertanding, pemilihan akan datang pun Nazri masih berpendirian yang sama, enggan bertanding.
Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob bertanding dalam tahun 2004 bagi kerusi Naib Presiden tetapi tewas. Adnan adalah salah seorang calon yang cukup kerap bercakap soal politik wang dalam Umno hingga menyebabkan beliau enggan bertanding kali ini. Beliau tidak sanggup terlibat dengan permainan ini tetapi tidak pula 'menghina' sesiapa, jika beliau kalah.
Kalau Rais menoleh sejenak ke belakang, dia tentunya sedar, jika dia bayar sekalipun untuk menang, dia tidak mungkin boleh menang kerana dalam Umno, aura pemimpin itu tidak ada pada Rais. Apa auranya, tiada siapa yang tahu, kecuali perwakilan yang mahu mengundi - walaupun mungkin orang mengatakan aura 'duit' menyebabkan seseorang itu menang.
Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding kerusi Presiden Umno bukan kerana duit. Beliau dilihat memang mampu untuk menjadi pengganti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Lagipun, Abdullah menyokong Najib sebagai penggantinya.
Walaupun Ku Li didakwa tidak mendapat pencalonan kerana tidak sanggup main politik wang, tetapi dipercayai jika K Li beri wang sekali pun, Najib akan tetap menjadi pilihan bahagian-bahagian.
Wang bukan segala-galanya walaupun Umno dilihat tercemar dengan kisah politik wang. Tidak semua orang berduit menang dalam pemilihan walaupun ramai juga yang sempat menghimpun harta ketika memegang pelbagai jawatan dalam Umno dan kerajaan.
Suatu ketika dahulu, bekas Ketua Umno Bahagian Kok Lanas, Tan Sri Abdullah Ahmad pernah menyindir seorang bekas Menteri berjaya mengumpul harga berbukit walaupun tempoh memegang jawatan tidak begitu lama.
Ramai juga yang tahu, walaupun Rais tidak menghulur habuan untuk menagih sokongan, tetapi bukanlah bererti Rais tergolong dalam golongan rakyat termiskin kerana dia masih memiliki kereta Jaguar yang tidak ramai Menteri dan bekas Menteri mampu memilikinya.
Umno diserang angin ahmar
Betul, Rais memang mampu membantu Umno untuk kembali kuat tetapi bukanlah jika Rais tiada dalam hirerki kepimpinan Umno, Umno terus diserang angin ahmar dan lumpuh!
Baguslah jika Rais mengatakan bahawa jika dia kalah, kerana Umno tidak mahukan orang yang tidak bermain politik wang. Ini bererti, rumusan Rais, semua yang bakal menang, kecuali dia, menang kerana poltik wang.
Begitu jijik Umno di mata Rais walaupun dia mengakui dia dapat segala-galanya ketika dalam Umno dan ketika menjadi orang nombor dua dalam S46, bukan sahaja tidak dapat menjadi Menteri Luar, nak menang kerusi DUN dan Parlimen pun tidak pernah dirasainya.
Sepatutnya Rais menawarkan diri bertanding kerusi Presiden Umno dengan kenyataan serupa "... jika saya tidak menang, bermakna Umno menolak orang yang bersih dari politik wang dan mereka yang menang, menang kerana politik wang.
Itu lebih hebat kerana jika Rais menang kerusi Presiden Umno, tentulah dia mampu membawa Umno kembali pulih dari politik wang, tetapi dengan satu syarat, dia tidak dikalahkah di Jelebu kerana bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Yunus Rahmat yang banyak berkorban untuk survival politiknya, kini menjadi musuhnya di kawasan sendiri. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan