Sabtu, 31 Januari 2009

ADUN Pengkalan Baharu juga nafi sertai Pakatan Rakyat

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar turut menolak desas-desus yang mengatakan beliau akan keluar daripada Umno untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Tegas Hamdi, tidak timbul soal mahu meninggalkan Umno walaupun beliau sebelum ini dilaporkan pernah mengkritik kepimpinan parti di negeri itu kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) Perak didakwa tidak mempunyai hala tuju yang jelas selepas tewas pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

"Tak ada... tak ada, saya tak akan lompat kemana-mana.

"Saya akan terus kekal bersama Umno dan BN, itu semua (dakwaan lompat parti) tidak betul," katanya kepada mStar Online.

Selain Hamdi, ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam juga merupakan pemimpin Umno di Perak yang menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan negeri yang disifatkan lesu dan tidak aktif bekerja untuk parti.

Mereka dikatakan antara dua wakil rakyat BN yang disebut-sebut akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

Pentadbiran Umno dan BN di Perak menerima formula baru apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno melantik Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno serta Pengerusi BN negeri.

Bagaimanapun Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu terutamanya selepas tindakan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim lompat parti menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hamdi berkata beliau amat yakin dengan ketokohan Najib sebagai pemimpin yang berwibawa untuk mengambil alih kepimpinan di Perak.

"Keputusan melantik Datuk Seri Najib adalah tindakan yang terbaik untuk Umno Perak.

"Malah kalau boleh lantikkan itu bukan sahaja sehingga Mac ini, tetapi terus sehingga BN memenangi semula Perak pada pilihanraya ke-13," katanya.

Jelas beliau, Umno Perak sememangnya memerlukan pemimpin yang berjawatan tinggi atau dihormati bagi memastikan setiap arahan demi kebaikan parti akan diikuti dengan mudah tanpa dipersoalkan.

Semalam ketika dihubungi mStar Online, Ahamad menegaskan pendiriannya akan kekal bersama Umno selepas Najib mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Ahamad berkata, beliau yakin dengan pelan perubahan yang diperkenalkan dalam struktur kepimpinan Umno negeri dan tidak akan melompat parti.

"Setakat sekarang saya yakin akan terus kekal bersama Umno dan BN.

"Kita tengok dulu macam mana, harap akan ada perubahan yang baik untuk parti," katanya.

Bagaimanapun beliau berharap supaya selepas Perhimpunan Agung Umno Mac ini pemimpin peringkat negeri akan diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan Umno di Perak.

"Baguslah Datuk Seri najib ambil alih dulu, kita pun faham bukan senang terus nak ganti orang baru.

"Tapi kita harap lepas Mac nanti, bagi peluang kepada pemimpin negeri yang ketuai," katanya.

1 ulasan:

Berita dari gunung berkata...

Dato Hamdi atau Cikgu Hamdi bagi bekas anak muridnya, akan kekal bersama UMNO ...