Selasa, 6 Januari 2009

Ada ketua Umno simpan dana PRU-12 antara punca BN kalah - Najib

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan adanya pemimpin-pemimpin Umno yang tidak menggunakan peruntukan kempen pilihan raya umum ke-12 yang lalu untuk menggerakkan jentera.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Umno itu berkata, ketua-ketua bahagian berkenaan menyimpan wang berkenaan untuk digunakan bagi kempen pemilihan Umno yang ada sejurus selepas pilahan raya 8 Mac.

"Ada pemimpin Umno simpan wang yang diberikan untuk pemilihan Umno," kata Timbalan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya sayap-sayap Barisan Nasional (BN) dan Puteri Umno di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Najib juga meminta pemimpin Umno yang bakal bertanding pada pemilihan Mac ini supaya tidak menggunakan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini sebagai medan untuk berkempen.

"Rafidah dan Shahrizat, duduklah sebaris. Yang lain-lain pun duduklah sebaris...Calon-calon Ketua Pemuda pun juga perlu duduk sebaris," katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Sebahagian besar calon yang bakal bertanding pada hadir pada sesi pelancaran tersebut.

Antaranya calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam; calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin dan calon Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Semalam Najib berkata, pilihanraya kecil ini bukan tempat untuk menegakkan agenda kepemipinan mana-mana pihak.

"Ada yang berkata, ini (pilihan raya kecil) satu penilaian kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), referendum kepada Timbalan Perdana Menteri, ujian kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Said).

"Mereka boleh buat andaian macam-macam tapi ini bukan soal Pak Lah, Najib, Ahmad Said atau (Wan Ahmad) Farid (calon BN)," katanya.

Pelancaran itu dibuat sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terenagganu.

Lebih 5,000 penyokong BN menghadiri majlis tersebut yang diadakan di Taman Tamadun Islam, di sini.

Difahamkan, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN telah membangkitkan perkara yang sama pada pertemuan tertutup jentera Umno tengah hari semalam.

Sehubungan itu, kata Najib, beliau membangkitkan perkara tersebut secara umum bagi menekankan bahawa kepentingan parti dan BN perlu diutamakan bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Kita sendiri yang mangkhianati parti kita. Kita cemburu sesama kita.

"Kita mesti patuh dan sayang pada parti," katanya.

BN telah kehilangan lima negeri dan sebagahagian besar kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada 8 Mac lalu.

Malah BN juga telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: