Selasa, 1 Disember 2020

Tukar kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’ bahaya pada negara, kata Hanipa

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata Menteri Perusahaan Perladangan 
dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali perlu dielak untuk berkempen ke luar
negara.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin mendakwa, pertukaran nama kempen “Sayangi Sawitku” kepada “Sawit Anugerah Tuhan” mendatangkan bahaya kepada negara.

Beliau berkata, negara luar seperti Barat akan menganggap kempen itu patuh syariah berikutan ada perkataan “tuhan”.

“Kita kena faham di luar sana dia orang sudah anti kita. Bila sebut nama tuhan itu, bagi orang Barat ini mereka menganggap ada kaitan dengan patuh syariah.

“Jadi mereka lihat menteri daripada parti Islam ada masalah. Kena tukar menteri ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa berkata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali perlu dielak untuk berkempen ke luar negara.

“Sebab saya takut makin teruk keadaan negara kita sebab menteri ini sama ada kita suka atau tidak suka telah membuat satu kempen yang begitu berbahaya kepada negara

“Sebagai contoh kenapa kita tukar kempen Sayang Sawitku kepada Sawit Anugerah Tuhan,” katanya.

Pada 22 Julai lalu, kempen “Sayangi Sawitku” yang dilancarkan awal tahun lalu kini dikenali sebagai “Sawit Anugerah Tuhan”.

Khairuddin berkata, penjemaan semula itu kerana nama berkenaan lebih baik.

Beliau berkata, sawit itu ialah anugerah tuhan dan bahan makanan terbaik untuk dunia.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melancarkan kempen itu pada 8 Jan 2019 untuk memerangi kempen anti-sawit dilancarkan Kesatuan Eropah terhadap komoditi negara.

Menteri industri utama ketika itu, Teresa Kok dilaporkan berkata, objektif kempen untuk menyemai rasa bangga rakyat terhadap industri sawit negara dan meningkatkan kesedaran serta mendidik rakyat mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit.

Tiada ulasan: