Sabtu, 5 Disember 2020

Janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol – MB Kedah

MALAYSIA GAZETTE
MGF25052020_OWG-MG-MB-KEDAH18
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Isu perobohan struktur atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah ialah isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tataletak setiap binaan struktur di semua tempat patut berada pada tempatnya secara sah dan terkawal menurut garis undang-undang dan pentadbiran yang diletakkan di bawah agensi kerajaan.

Katanya, tataletak itu harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun masih belum terlambat untuk melakukannya.

Menurut Sanusi, sedikit kekecohan yang diapi-apikan oleh pihak berkepentingan pada waktu ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni.

“Kangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’, mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Sanusi menegaskan, ada beberapa serangan politik kepada Kerajaan Negeri Kedah berkaitan isu kuil yang diputar belit dari sudut fakta sejarah, (ada dakwaan 30 tahun dan ada juga mendakwa 50 tahun), sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod sebenar tentangnya.

Bangunan itu, katanya,  hanya muncul beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, daripada asalnya sebuah berhala yang diletakkan di perdu sebatang pokok.

“Sebelum ini mereka jugalah yang mengelak untuk mengakui bahawa satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk menggantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel keretapi di Alor Setar.

“Selepas diberi tapak baru, kuil pun didirikan, mereka kembali pula mendirikan kuil di tapak asal. Notis mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh MBAS,” katanya.

Sanusi berkata, kes itu juga diputar belitkan untuk membina persepsi bahawa Pas adalah pelampau agama yang mendiskriminasi agama lain.

”Kununnya kuil itu berusia lebih 100 tahun, padahal hanya dibina beberapa tahun lalu sahaja. Untuk satu tapak kuil yang berada di atas tanah KTM yang terbabit dengan pembangunan untuk orang ramai, berapakah tapak baru patut diberikan sebagai ganti?” Soalnya

Cubalah haramkan MIC! – Vigneswaran

Sanusi berkata, tiada siapa di kalangan pemimpin politik kaum India dari MIC atau DAP berani mendedahkan fakta ini.

Sebaliknya, kata beliau, semua mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh.

“Jaguh kaum, jaguh agama atau jaguh putar belit?” Katanya.

Beliau juga menarik perhatian mengenai kenyataan Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran yang mengaitkan kuil di tanah kawasan lapang yang dibina secara haram itu dengan kilang plastik tidak berlesen di zon industri Sungai Petani.

Beliau membuat perbandingan antara kes operasi kilang tanpa lesen satu kes lagi tentang binaan yang tidak sah di atas tanah kawasan lapang taman perumahan.

Menurut Sanusi, tujuh buah kilang plastik di Sungai Petani itu telah akur untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian Bukit Selambau dan akan diberikan lesen di tapak baru kelak.

“Prosesnya sedang berjalan dengan lancar dibawah kendalian YB Exco Pelaburan dan Industri dan pihak MPSPk.

“Sesuaikah kedua kes itu untuk dibuat perbandingan? Epal wajar dibandingkan dengan epal juga,” katanya.

Sanusi berkata, para pemimpin politik di negara kita harus bertindak sebagai pendamai, penjaga keharmonian dan tataatur selari dengan undang-undang dan peraturan.

Set undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa ini, katanya, adalah untuk memelihara serta melindungi kehidupan rakyat seluruhnya, bukan untuk mendiskriminasi sesiapa.

“Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit isu undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan berwewenang,” katanya.

Malah, menurut beliau, perlembagaan parti-parti politik yang diluluskan tidak mengandungi kebenaran kepada kegiatan-kegiatan seumpama itu.

Katanya, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia adalah suara untuk menjunjung kebenaran, keadilan, bukan bebas bersuara tentang kepalsuan, putar belit, fitnah dan adu domba.

Hal itu, katanya, sangat mudah difahami, tetapi sengaja dikesampingkan hanya untuk menjadi jaguh.

Beliau turut menjelaskan perihal Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) yang tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil Hindu, tokong atau rumah ibadat.

“Ia berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan,” katanya.

Di Taman Bersatu itu, bukan kuil itu sahaja dirobohkan, sebuah gelanggang silat juga telah dirobohkan dibawah Akta yang sama. Di lokasi lain di Alor Setar juga, ada gerai, parkir kereta, setor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.

“Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat di pinggir kuil itu? Senior politician seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol.

Isu kuil Taman Bersatu menjadi kecoh apabila Sanusi mengeluarkan kenyataan lebih baik diharamkan MIC jika parti itu menghasut orang awam berikutan isu tersebut. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: