HARAKAH DAILY
JOHOR BAHRU: Pengurus kilang perusahaan perabot
merupakan antara empat individu yang ditahan kerana memasang bendera
Malaysia dan bendera negeri Johor secara terbalik dalam kejadian di
Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini, semalam.
Ketua Polis
Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata selain pengurus lelaki
warga tempatan berusia 56 tahun itu, turut ditahan adalah pegawai sumber
manusia wanita warga tempatan (29 tahun), seorang kerani logistik
wanita warga tempatan (23 tahun) dan seorang lelaki warga Bangladesh (35
tahun).
Katanya, tangkapan itu dibuat susulan aduan daripada
orang awam yang diterima pihaknya sebelum pemeriksaan dilakukan oleh
sepasukan polis dari Balai Polis Dato Onn pada 2.07 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di kilang yang telah beroperasi sejak lapan tahun lepas itu, mendapati kedua-dua bendera itu dipasang dengan terbalik.
“Alasan yang biasa diberikan dengan mengatakan bendera itu dipasang
oleh pekerja warga asing. Sebagai rakyat Malaysia, mereka harus prihatin
dan proses pemasangan bendera oleh warga asing itu pula harus diselia.
“Sebab
itu, kita tidak boleh terima lagi alasan sebegini, habis apa peranan
pemilik kilang itu sedangkan ia telah beroperasi selama lapan tahun dan
kita pula merdeka sudah 63 tahun,” katanya kepada pemberita dalam sidang
media, di sini, hari ini.
Beliau berkata dua bendera tersebut turut dirampas semasa pemeriksaan dilakukan.
Ayob Khan berkata kes memasang bendera secara terbalik tidak seharusnya dianggap remeh kerana kedaulatan dan keamanan negara harus sentiasa dijaga.
“Sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini, Polis Johor tidak akan menerima lagi alasan… saya ingin menasihatkan, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih ada perbuatan sebegini,” katanya.
Ayob Khan berkata keempat-empat suspek berkenaan ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan