Sabtu, 25 Januari 2020

Mujahid, letak jawatan jika tak boleh selesai isu penjualan anak syarikat TH

Muhammad Azizul Osman
MGF24012020_PEMUDA-PC-TH04-1
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan yang dipercayai bukti penjualan aset Tabung Haji pada sidang media khas di Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Penjualan 14 anak syarikat Tabung Haji Plantation (THP) yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar didakwa mengkhianati pendeposit.

Justeru itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil langkah penyelesaian segera bagi memastikan tiada lagi aset milik Tabung Haji dijual kepada orang lain.

“Ini di bawah Akta Tabung Haji, menteri bertanggungjawab, bukan Perdana Menteri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri harus bertanggunjawab dalam hal ini.

“Kalau menteri kata serah kepada pengurusan TH untuk jawab saya rasa itu tidak bertanggungjawab kerana dia adalah bertanggungjawab untuk menjawab kepentingan 9.4 juta pendeposit TH,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sekiranya gagal berbuat demikian, Asyraf Wajdi mendesak agar Mujahid mengambil tindakan sama seperti Dr Maszlee Malik yang meletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

“Kalau menteri kata serah kepada pengurusan TH untuk jawab saya rasa itu tidak bertanggungjawab kerana dia adalah bertanggungjawab untuk menjawab kepentingan 9.4 juta pendeposit TH.

“Kalau rasa tidak boleh, lebih baik ikut jejak langkah Dr Maszlee balik semua ke bidang akademik. Sebab dia dulu rasa dia lebih cerdik daripada yang yang cerdik. Tak sampai tahap pemikiran dia,” katanya lagi.

Asyraf Wajdi turut berkata pihaknya akan membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM untuk menyiasat dengan segera tindakan penukaran jurunilai yang mana kaedah penilaian itu telah menyusutkan nilai hartanah TH daripada RM380 juta kepada RM170 juta.

“Kita juga desak agar siasat proses penjualan tanah-tanah ini kepada Tamaco kerana ini isu kepentingan rakyat dan harap dapat perhatian serius oleh pihak berwajib,” katanya lagi.

Isu penjualan tanah-tanah ladang kelapa sawit milik THP mula dibangkitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Najib berkata THP sudah 76.2 peratus daripada jumlah keluasan tanah ladang kelapa sawit yang berjumlah 110,000 hektar kepada dua syarikat.

Beliau berkata Mujahid , menteri hal ehwal Islam tidak sepatutnya diam dan sepatutnya menjelaskan mengenai penjualan kepada umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: