Khamis, 20 Jun 2019

Kebangkitan rakyat sudah dirasai UMNO

Armand Azha
Armand Azha

KUALA LUMPUR – UMNO mula merasakan berlaku angin perubahan dalam kalangan rakyat yang didakwa kembali menyokong semula parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, perubahan itu dilihat setelah rakyat bosan dengan pelbagai sandiwara dan lakonan tidak menjadi kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menjaga kebajikan mereka.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli dan pemimpin akar umbi yang kekal menunjukkan kesetiaan kepada UMNO walaupun parti itu telah kehilangan kuasa pada PRU-14.

Namun, beliau mengingatkan kepimpinan di semua peringkat agar tidak lupa kepada pemimpin yang lompat parti kerana ‘mencari makan’ dan yang mengambil sikap selamatkan periuk nasi selepas UMNO kalah.

“Saya sekadar nak ingatkan kawan-kawan yang dalam UMNO, kita jangan lupa pada (pemimpin) yang tinggalkan kita ketika 9 Mei 2018.

“Kita jangan lupa yang playsafe time sekarang, yang lompat parti kerana cari makan, yang dahulunya konon penyokong UMNO, tapi bila kita diuji merekalah yang balun kita balik pasal nak membodek.

“Kita jangan lupa pada yang dahulu beriya-iya minta kita tolong, tapi kini ibarat biskut chipsmore, sekejap ada sekejap tidak ada,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang mengingatkan dirinya sendiri mengenai golongan itu.

Kata Armand Azha, yang beliau terharu kepada golongan kepimpinan yang konsisten susah senang dan ketika diuji dengan ujian parti kehilangan kuasa.

“Yang pasti angin kebangkitan rakyat sudah dirasai dan telah sedikit demi sedikit kembali menyokong kita. Sama-sama kita doakan Allah permudahkan segalanya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: