Sabtu, 17 November 2018

SEKADAR BELANJAWAN ‘CETAK ROMPAK’- KHAIRY




Belanjawan 2019 yang dibentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang dinamika tersendiri apabila kebanyakan daripada inisiatif hanya meniru program kerajaan lama Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin berkata walaupun belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan bajet terbesar dalam sejarah dengan jumlah keseluruhan bernilai 314.5 bilion, namun tiada sebarang pembaharuan yang diketengahkan.

Malahan menurut Khairy, terdapat juga program yang dicetak rompak daripada kerajaan BN namun dengan peruntukan yang telah dikurangkan.

“Banyak daripada program yang mereka umumkan adalah daripada program kita, Barisan Nasional. Banyak saya sebut ‘copy and paste’ dan kalau mereka segan sikit mereka tukar nama.

“Kalau dulu Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), sekarang dipanggil Bantuan Sara Hidup, BASAH… Dulu dedak kering, sekarang dedak basah,” sindir Khairy.

“Dia tukar nama dan dia tak mampu nak beri jumlah yang sama. Hari ini kalau BN menang kita beri maksimum RM2000, tetapi dia menang, dia bagi maksimum seribu sahaja,” katanya dalam Wacana U3.0 di Menara Dato’ Onn pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata beliau pernah ‘menyarankan’ agar kerajaan PH meniru kesemua program BN tanpa rasa segan berikutan Belanjawan 2019 gagal mencakupi seluruh segmen masyarakat.



“Saya tegur dalam perbahasan, saya kata kalau nak copy paste janganlah segan, ambillah semua. Ini copy paste sikit dan ada yang tertinggal, contohnya bantuan untuk nelayan, petani, bantuan musim tengkujuh dan sebagainya, ini dia tidak bagi.

“BN bukan kita tiada kelemahan, tetapi bila mahu hasilkan bajet, kita senaraikan semua lapisan masyarakat supaya semua dapat dibantu,” ujar beliau.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata kegagalan belanjawan itu turut ditegur oleh pemimpin PH sendiri yang merasakan bajet tersebut terlalu berpihak kepada golongan bandar.

“…Bukan saya sahaja yang cakap, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sendiri dalam perbahasan tegur, janganlah lupa orang miskin luar bandar, janganlah lupa petani, jangan lupa nelayan, pekebun kecil.

“Ini teguran daripada ketua mereka sendiri, ada yang kata ini belanjawan Kuala Lumpur, belanjawan Damansara, untuk penyokong PH sahaja,” tegas beliau.


Tiada ulasan: