Selasa, 13 November 2018

Polis tiada SOP untuk suspek OKU, kata timbalan menteri

Azis Jamman berkata polis akan dilatih untuk mengendalikan 
kes melibatkan orang-orang kurang upaya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tidak butiran khusus dalam tatacara operasi standard (SOP) bagi penangkapan dan penahanan orang kurang upaya (OKU) atau keperluan khusus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata SOP sedia ada memperincikan kuasa untuk menangkap, bagaimana penangkapan perlu dilakukan, tindakan yang akan diambil selepas ditahan, permohonan untuk jaminan polis, dan beban penangkapan.

“Kami mengakui ada kelemahan dalam SOP polis apabila menangani kes-kes melibatkan OKU dan keperluan khusus.

“Polis akan membuat penambahbaikan yang perlu pada SOP dalam masa terdekat,” katanya menjawab Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Ramkarpal bertanya sama ada kerajaan sedang merancang pindaan khusus pada SOP bagi penangkapan dan pengurusan suspek yang ada keperluan khas, termasuk mereka yang mempunyai autisme.

Ini berikutan bantahan orang ramai terhadap penangkapan dan penahanan Ahmad Ziqri Morshidi, 22, awal tahun ini yang menderita autisme, atas tuduhan mencabul. Penangkapannya membawa kepada petisyen menyeru pihak berkuasa mengkaji semula SOP mereka.

Azis (Warisan-Sepanggar) berkata kajian akan dilakukan mengenai bilik khas untuk proses dokumentasi, ikat jamin polis, laporan perubatan dan prosedur pelepasan, antara lain.

Beliau berkata polis juga akan dilatih menangani kes melibatkan orang kurang upaya.

“Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta NGO lain untuk menyelaras SOP sedia ada, bagi memastikan prosedur penguatkuasaan sensitif terhadap keperluan mereka yang kurang upaya dan keperluan khas.”

Beliau berkata kementerian mengakui kes-kes ini, seperti yang melibatkan Ziqri, memberi cabaran baharu.

Kementerian percaya terdapat keperluan untuk melihat semula beberapa SOP polis lain. Beliau berkata mesyuarat akan diadakan dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat untuk membolehkan SOP baru.

Menjawab soalan Ramkarpal tentang bagaimana SOP boleh ditapis dan mengapa ini tidak dilakukan sebelum ini untuk mengelakkan kes seperti Ziqri, Azis berkata kementerian komited untuk membincangkan, mengkaji dan menapis sebarang SOP yang perlu diperkenalkan.

“Lebih baik terlambat daripada tidak sama sekali,” katanya. “Sekurang-kurangnya bawah pemerintahan PH baru ini, kami mempunyai dorongan dan komitmen untuk memastikan kami mempunyai SOP bagi OKU dan keperluan khusus, sekiranya berlaku kes seperti itu.”

Tiada ulasan: