Jumaat, 16 November 2018

PAS beri laluan pada Umno di PRK Rantau

Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan menyokong Mohamad 
Hasan, mungkin dari segi undi atau menurunkan jentera pilihan 
rayanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: PAS tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau demi memberi laluan kepada Umno mempertahankan kerusi itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Sebab pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pun kita tak bertanding dan kerusi itu adalah kerusi tradisi Tok Mat (Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan) sendiri,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di DUN Rantau tidak sah dan terbatal, selepas Hakim, Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy.

Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satu pencabarnya, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei lalu, bagi memohon PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

Hari ini, Mohamad dilaporkan berkata, beliau sedia mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya sejak PRU11 pada 2004.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS memutuskan untuk menyokong bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dalam PRK Rantau nanti.

“Kita akan beri sokongan sama ada undi atau mungkin kalau perlukan jentera kita, kita akan turunkan.”

Mohamad mula bertanding di kerusi DUN Rantau pada 2004, dengan menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin yang dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dalam PRU12 dan PRU13 dengan mengetepikan calon PKR, Aishah Lamsah, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi serta 3,783 undi.

Tiada ulasan: