KUALA LUMPUR - Pihak yang ingin mengadakan himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka juga mesti mematuhi segala peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat dan pendirian mereka mengenai isu ini. Namun ia harus dibuat mengikut landasan undang-undang dan tidak sesekali boleh melampaui batasan sehingga menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Semua pihak dinasihatkan untuk menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat serta mematuhi segala peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya ingin mengadakan himpunan bantahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan tolak ICERD tidak perlu ]

Menurut beliau, masyarakat juga dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa jua cara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kententeraman awam.

"Kita juga harus yakin dengan komitmen kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi ICERD," katanya.

Katanya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjaga ketenteraman awam dan memastikan tidak wujud sebarang bentuk pelanggaran undang-undang atau percubaan mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas isu ini demi kepentingan agenda mereka.

Sebelum ini, Umno dan Pas merancang mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah usaha meratifikasi ICERD.

Himpunan tersebut dijangka diadakan pada 8 Disember ini di Dataran Merdeka.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Ulama Pas ajak rakyat sertai perhimpunan tolak ICERD ]