SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai perhimpunan mega menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka, 8 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira anutan agama, bangsa dan politik untuk sama-sama menyertai perhimpunan mega ini.

Menurutnya, perhimpunan mega ini bagi memberi teguran kepada Kerajaan PH agar menarik balik atau membuat kenyataan jelas menolak ratifikasi ICERD di Malaysia.

“Jangan biarkan rakyat dalam keresahan serta membuka ruang kepada campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tak halang anjur bantahan ICERD]
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Himpunan 8 Disember desak kata putus]

Mahfodz berkata, DUPP sangat kesal dengan cadangan kerajaan PH untuk meratifikasi ICERD
“Kerajaan perlu mendengar bantahan rakyat bahkan hal ini turut mendapat tentangan hebat daripada pakar perlembagaan, pengamal undang-undang, para mufti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Di Malaysia, perlembagaan yang sedia ada memberikan hak kepada kaum selain Melayu sebagai warganegara dan boleh mendapat hak-hak sebagaimana warganegara lain seperti pekerjaan, bersuara, bahkan mencalon dan dicalonkan dalam pilihanraya.

“Keharmonian antara kaum ini telah dicapai menerusi Kontrak Sosial sewaktu kemerdekaan. Ini menjadi bukti sekalipun perbezaan kaum, namun setiap kaum boleh mengamalkan kepercayaan dan adat budaya mereka tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Mahfodz menambah, Islam tidak pernah mendiskriminasi penganut agama lain apatah lagi kaum dan bangsa. Malah Islam sendiri menyuruh berbuat baik serta berlaku adil kepada golongan non muslim.

“Adapun sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang membuat kenyataan memburukkan negara kita termasuklah tuduhan berlakunya diskriminasi kaum adalah tidak berasas.

“Kenyataan yang tular melalui video berdurasi 2 minit lebih di media sosial itu wajar diambil tindakan segera. Kenyataan berkenaan jelas memburukkan nama baik negara dan suatu pengkhianatan kepada Malaysia tercinta,” katanya.