Jumaat, 16 November 2018

Deepak saman Najib, Rosmah berhubung cukai hasil



KUALA LUMPUR: Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, JR Deepak Jaikishan memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta seorang lagi kerana mendakwa pasangan itu bertanggungjawab membayar cukai hasil dikenakan ke atas syarikatnya ketika ahli perniagaan itu menjadi ejen dan proksi kepada mereka.

Semua plaintif iaitu Deepak, Carpet Raya Sdn Bhd dan adiknya, J Rajesh, yang juga pengarah syarikat berkenaan, memfailkan saman semalam menerusi Tetuan David Gurupatham & Koay dengan menamakan pasangan tersebut dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Deepak mendakwa antara 2004 hingga 2010, beliau dan syarikat itu bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam transaksi penjualan dan pembelian tanah serta perniagaan bawah arahan pasangan suami isteri berkenaan.
Transaksi tersebut memberi manfaat dan keuntungan kepada Najib dan Rosmah, katanya.

Dakwa Deepak, defendan ke-3 (Azeez) pula menjadi ejen kepada Najib dan Rosmah bagi melaksanakan transaksi berkenaan dan menjadi orang perantaraan antara pasangan itu dengan plaintif ke-2 iaitu Carpet Raya.

Namun, Deepak mendakwa, akibat daripada transaksi berkenaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar surat bertarikh 2 Mac 2018 kepadanya supaya menyelesaikan tunggakan cukai Carpet Raya dan cukai individunya berjumlah lebih RM6 juta, tidak termasuk kenaikan cukai penalti dan faedah.

Plaintif mendakwa mereka juga dikehendaki membayar tunggakan cukai itu secara ansuran selama 24 bulan bermula Januari 2018 sehingga Disember 2019 selaras dengan keputusan Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 21 Sept 2017.

Dakwa Deepak, perkara itu berlaku selepas hubungan antara beliau dengan pasangan itu menjadi tegang sekitar 2012 berikutan kengganannya untuk mengikut arahan Najib dan Rosmah dalam kes saman sivil membabitkan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Azeez juga tahu perkara berkenaan, katanya.

Semua plaintif mendakwa Najib dan Rosmah juga mengarahkan tindakan guaman diambil oleh LHDN terhadap Carpet Raya dan satu petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN dan petisyen berkenaan disiarkan di dalam surat khabar.

Plaintif mendakwa akibat petisyen penggulungan itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak turut dilarang keluar negeri selain mendakwa kemudahan urusan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank dan kontrak syarikat itu bersama Ikea dibatalkan.

Sehubungan itu, semua plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah adalah pihak bertanggungjawab untuk membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan.

Turut dituntut ganti rugi berjumlah RM500,000 yang dibayar kepada Maybank, ganti rugi berjumlah RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat itu dalam memenuhi kewajipan kontrak dan jualan, ganti rugi RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat berkenaan bersama Ikea, ganti rugi berjumlah RM200 juta atas dakwaan memfitnah dan ganti rugi RM37 juta akibat kerugian disebabkan salah laku oleh Najib.

Plaintif juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta.

Tiada ulasan: