Selasa, 13 November 2018

BIARKAN ‘LANGAU-LANGAU’ TERBANG PERGI – TOK MAT


Wartawan Watan-Online




Biarkan ‘langau-langau’ itu terbang, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai kiasan tehadap pemimpin dan penyokong yang meninggalkan parti itu.

Beliau berkata, langau terbabit meninggalkan UMNO selepas tiada lagi apa-apa yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.

“Langau-langau dah terbang dah. Tidak ada benda yang nak dihisap lagi, mereka pun terbang.

“Biarlah langau ini terbang dan biarlah kita di sini menjadi garam,” katanya seperti dilaporkan portal umno-online.

Mohamad dipetik berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan pimpinan pusat dan negeri di Melaka. Turut hadir Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Mohamad ahli UMNO yang kekal dengan parti itu diibaratkan sebagai “garam’ yang boleh dimanfaatkan daripada bahan berkenaan, berbanding langau yang membawa penyakit.

Mengakui parti terbabit dikalahkan pada PRU14 lalu, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata apa yang boleh dilakukan mereka ialah merawat “luka” dan “sakit” yang ada.

“Kita ubatkan dan rawatkan penyakit kita, luka kita… kita rawat supaya (bersiap sedia kerana) yang penting tidak lama lagi pilihan raya,” katanya.

Mohamad berkata ‘garam’ yang tinggal dalam UMNO sekarang akan menjadi pengubat parti yang kalah pada PRU lalu.

Pada masa sama Mohamad meminta anggota UMNO yang setia memerhatikan PH mentadbir negara.
Jika gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan, beliau menyarankan ahli UMNO ‘mengganyang’ PH.

“Kalau lambat buat kerja kita masuk (tularkan) dalam media sosial dan sebagainya.

“Kita ganyang mereka pulak. Mereka dulu bukan buat kerja pun, mereka hanya mencari salah kita. Hari ini kita cari salah (mereka) pula,” katanya.

Tiada ulasan: