Ahad, 4 November 2018

‘Bantah ICERD’ bergema menuju ke Sogo

MUHAMED NORAZIHA ABDULLAH | SYAHIRAH SALLEH




KUALA LUMPUR: Laungan ‘Bantah ICERD’ bergema sepanjang jalan dari Masjid Jamek menuju ke tempat perhimpunan di pekarangan hadapan pusat membeli belah Sogo di ibu negara hari ini.

Orang ramai berarak menunjukkan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang didakwa akan diratifikasikan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 8 November nanti.

Turut sama berarak membantah ICERD ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Pengerusi NGO Generasi, Ustaz Roslan Md Esa dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) lain.Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Fadhli Shaari usaha untuk meratifikasikan ICERD oleh kerajaan Pakatan Harapan semakin rancak dirangka.

“Rakyat perlu bangkit menyuarakan bantahan supaya kerajaan tidak meratifikasikan ICERD ini.

“Jika kerajaan tetap untuk meratifikasi ICERD ini, bantahan lebih besar akan berlaku di seluruh negeri,” katanya.

Peneraju Utama Gerakan Srikandi Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin berpendapat isu meratifikasikan ICERD sepatutnya tidak berlaku memandangkan kita mengizinkan mereka untuk hidup bersama dengan aman.

"Tanah air kita, kenapa mereka nak pertikaian hak bumiputera. Ini membabitkan institusi pendidikan, tanah dan adat. Sekiranya ratifikasi ini berjaya, kita bakal merempat di tanah air sendiri seperti Rohingya dan Syria," ujarnya yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek sebelum berarak Sogo.

Orang ramai tanpa mengira fahaman politik memberi reaksi positif terhadap himpunan itu. – HARAKAHDAILY
ic3
ic4
ic2




Tiada ulasan: