Jumaat, 30 November 2018

ADUN BN BOIKOT SPEAKER DUN PERAK




Semua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini ( 28 Nov ) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham yang didakwa bersikap berat sebelah.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad, berkata tindakan itu dilakukan kerana Koo Ham bertindak secara tidak matang dan tidak menunjukkan sikap adil iaitu tidak cenderung kepada mana-mana pihak dalam mengendalikan sidang berkenaan.

Katanya, tindakan Koo Ham yang menjawab bagi pihak kerajaan sepatutnya tidak boleh dilakukan kerana ia tidak menunjukkan sikap berkecuali selain membantah tindakan berat sebelahnya apabila mengungkit peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 ketika mengendalikan persidangan.

“Jadi kita (BN) protes, semua ADUN (dari BN) keluar… kecuali ADUN PAS kerana Pesuruhjaya PAS, Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) akan berbahas.

“Saya cuma mengucapkan tahniah kepada beliau (Koo Ham) kerana beliau adalah Ahli Parlimen terkaya namun beliau respon dengan mengaitkan kononnya BN merampas kuasa pada 2009, kalau tidak mungkin beliau lebih kaya lagi.

“Beliau mungkin tidak tahan sebab saya pulangkan ‘paku buah keras’ kepadanya.

“Ini kerana sewaktu mereka jadi pembangkang, setiap kali Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membentangkan belanjawan negeri, beliau akan balun tapi sekarang mereka sudah jadi kerajaan namun tiada yang istimewanya Belanjawan 2019 berbanding yang BN bentangkan dalam Belanjawan 2018,” katanya.

Saarani berkata, sebagai Speaker, Koo Ham tidak boleh menunjukkan sikap berat sebelah dengan jelas, menjawab bagi pihak kerajaan atau turut sama berbahas.

Katanya, malah sudah menjadi amalan di peringkat Persekutuan di mana Speaker Dewan Rakyat hendaklah melepaskan semua jawatan politik untuk memperlihatkan beliau bukan saja adil tetapi dilihat adil malah tidak boleh menunjukkan sikap memihak kepada mana-mana parti politik.

“Speaker tak boleh menyampuk, menjawab bagi mana-mana pihak tapi Koo Ham semakin menjadi-jadi, dia nak menjawab, bila kita berbahas dia pun nak jawab, malah dia nak turut sama membahaskan.

“Jadi kita nak tegur, Speaker kena bersikap berkecuali dan jangan menunjukkan belang, kalau tunjuk belang dia tidak boleh mengendalikan persidangan dengan baik, dia mesti adil,” katanya.

Bagaimanapun, Saarani menjelaskan, protes berkenaan hanya sementara dan mereka menyambung persidangan pada sebelah petang.


Tiada ulasan: