Isnin, 24 Oktober 2016

Tiga lelaki diberkas, heroin lebih RM40,0000 dirampas

MALAYSIA GAZETTE




Polis Perak menahan tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan pengedar dan merampas 2.7 kilogram dadah jenis heroin bernilai lebih RM40,000 dalam tiga tangkapan berasingan, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak ACP R. Ravichandran berkata berdasarkan maklumat orang ramai, sepasukan polis dari JSJN Ipoh dan Kampar telah menahan suspek utama berumur 65 tahun yang menaiki sebuah kereta sewa di susur keluar Plaza Tol Gopeng di sini.

"Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 2.7 kilogram di bawah alas kaki tempat duduk penumpang hadapan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa jam kemudian, dua lagi lelaki berumur 43 dan 44 tahun yang merupakan anggota kumpulan itu masing-masing ditangkap di sebuah premis dan tepi jalan di Kampar.

Menurutnya, dadah yang dipercayai untuk pasaran tempatan itu boleh dibekalkan kepada 3,500 penagih dadah.

Ravichandran berkata hasil siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencing terhadapnya didapati positif dadah jenis morphin.

"Ketiga-tiga suspek mempunyai pekerjaan lain. Suspek utama bekerja sebagai pemandu kereta sewa manakala dua lagi suspek merupakan buruh dan penjaga kolam ikan," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari mulai 22 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Ravichandran berkata polis kini giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu.-- BERNAMA


Tiada ulasan: