PETALING JAYA: Pemain beregu campuran badminton negara Chan Peng
Soon-Goh Liu Ying dan pemain beregu lelaki Goh V Shem kini bergelar
pelakon apabila diambil berlakon dalam sebuah filem tempatan berbahasa
Cina yang bertajuk ‘Goodbye Mr Loser’ yang akan ditayangkan pada Tahun
Baru Cina tahun depan.
Susulan kejayaan mereka meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio
membuka rezeki kepada ketiga-tiganya untuk beraksi pula di layar perak.
Liu Ying yang juga seorang model sambilan berkata beliau gembira
apabila diberi peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang
lakonan.
Beliau berkata kerjaya sebagai pelakon dan model hanya sampingan dan tumpuannya tetap terarah sebagai pemain badminton.
“Saya, Peng Soon dan V Shem diberi peluang untuk berlakon, kami sangat
teruja. Dalam bidang lakonan untuk menghayati watak adalah susah, tetapi
jadi atlet di gelanggang lebih susah lagi,” katanya kepada pemberita.
Liu Ying menerima penghargaan daripada syarikat pembekal barangan kesihatan OSIM Malaysia hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata beliau kini sedang giat
menjalani latihan untuk menyertai beberapa kejohanan terutama Final Siri
Super Dunia Dubai dari 14 hingga 18 Dis ini.
“Paling penting adalah tahap kecergasan saya. Fokus saya adalah Final
Siri Super di Dubai. Bagi beberapa kejohanan terdekat seperti Terbuka
Denmark dan Terbuka Perancis, saya perlu tingkatkan ketahanan fizikal
saya,” katanya.
Sementara itu V Shem berkata berlakon filem adalah lebih sukar berbanding menjadi seorang atlet.
Baginya tiga jam penggambaran filem tersebut adalah pengalaman baharu
dan menarik baginya walaupun sukar untuk menghayati watak yang
diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan