Khamis, 6 Oktober 2016

ROS ambil tindakan jika ada aduan rasmi 'ketidakpatuhan' PPBM - Razin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) hanya akan menyiasat 'ketidakpatuhan' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya ia menerima aduan rasmi terhadap parti itu.
 
"Sekiranya kita terima aduan rasmi, kita akan membuat siasatan. Jadi selepas kita buat siasatan, kalau aduan itu terbukti, kita akan ambil tindakan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas 'ketikakpatuhan' parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang masih menggunakan perkataan BERSATU sebagai nama rujukan parti, berbanding akronim yang ditetapkan ROS iaitu PPBM.
 
Parti baru itu dilihat enggan menghiraukan arahan ROS apabila terus menerus menggunakan perkataan BERSATU berbanding PPBM dalam program serta ceramah membabitkan mereka.
 
Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, penggunaan nama BERSATU bagi mempromosikan parti boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan kerana jelas penggunaannya melanggar perlembagaan PPBM dan syarat-syarat dalam akta berkenaan.
 
Untuk rekod, pendaftaran parti baru itu diluluskan pada 8 September lalu, namun ROS menolak penggunaan akronim BERSATU sebaliknya menetapkan penggunaan akronim PPBM terhadap permohonan berkenaan.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno melahirkan rasa kurang setuju dengan pemilihan perkataan BERSATU oleh parti itu.
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkataan itu sinonim dan sering digunakan, sekaligus boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat.
 
 

Tiada ulasan: