KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan susulan insiden tiga wartawan sebuah
akhbar tempatan dikasari ketika membuat liputan konvoi BERSIH 5 di Kuala
Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata siasatan
dibuat di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah bagi pencegahan
daripada melakukan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana
membuat ugutan jenayah.
"Siasatan lanjut untuk kenal pasti dan ambil tindakan ke atas individu
lain yang terlibat sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang daripada wartawan berkenaan membuat laporan
polis dengan mendakwa dia serta rakan-rakannya telah dikepung dan diugut
supaya memadamkan video yang dirakam, selain bajunya ditarik sekumpulan
lelaki yang menentang peserta konvoi BERSIH 5.
Terdahulu, klip video mengenai kejadian kira-kira 6 petang di hadapan
pintu masuk sebuah pasar raya di Pasir Penambang, Kuala Selangor itu
tersebar di media sosial.
Dalam pada itu, Ruslan turut mengesahkan ada menerima laporan berhubung
tindakan beberapa individu dipercayai peserta konvoi BERSIH 5 yang
didakwa mengedar risalah berbaur hasutan di sekitar pekarangan pintu
masuk pasar raya berkenaan.
Ia disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 berhubung perkara tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan