Ahad, 23 Oktober 2016

Loji Labohan Dagang untuk penduduk Klang, Kuala Langat - Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LANGAT:  Pembinaan Loji Air Labohan Dagang mampu menampung 200 juta liter air terawat dilihat dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar Klang dan Kuala Langat.
 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembinaan loji itu juga mampu melengkapkan sistem agihan aliran air negeri ini.
 
"Kawasan Klang dan Kuala Langat tidak mempunyai loji sendiri sebaliknya bergantung dari sumber Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.
 
Justeru, apabila wujudnya gangguan air, kedua-dua kawasan ini mengambil masa agak lama untuk pulih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan Loji Air Labohan Dagang, di sini hari ini.
 
Beliau berkata loji tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang 2018, turut berkeupayaan menyalurkan bekalan air berterusan selama 37 hari walaupun berlaku kemarau panjang tanpa aliran masuk air dari sungai atau bawah tanah.
 
Sementara itu, mengulas mengenai pencemaran air Sungai Semenyih sehingga menyebabkan LRA Semenyih terpaksa ditutup hari ini, Mohamed Azmin mendakwa terdapat unsur sabotaj dari pihak tertentu berhubung perkara itu.
 
"Perkara ini berlaku bersiri... laporan awal dan bukti menunjukkan terdapat kecenderungan unsur sabotaj.
 
"(Unsur sabotaj ini) Biar rakyat sahaja yang hukum... sebab kita dah beri komitmen malah pasukan pemantauan yang dianggotai pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mula memantau 24 jam sekarang," katanya.
 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerusi kenyataannya hari ini mengesahkan loji rawatan itu ditutup pagi tadi akibat berlaku pencemaran bau air Sungai Semenyih disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
 
Menurut SYABAS, susulan penutupan itu beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara sejak 7.30 pagi tadi.
 
 

Tiada ulasan: