Rabu, 19 Oktober 2016

Kerajaan tidak bercadang mansuh GST - Johari

 
 
Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani


Kementerian Kewangan sedia menolong menyelesaikan masalah kontraktor yang mendakwa terpaksa membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum menerima bayaran projek daripada kerajaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kementeriannya memandang serius jika perkara itu berlaku atas kesilapan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau ada menerima aduan itu, tetapi setelah disemak, kontraktor berkenaan telah melakukan banyak kesilapan dan melanggar peraturan ditetapkan, yang menyebabkan mereka perlu membayar GST sebelum menerima bayaran projek.

"Kalau ada kontraktor yang belum terima bayaran dari kerajaan, tetapi terpaksa bayar GST, tolong serahkan senarai nama untuk saya kenal pasti masalah.

"Ada kes, kontraktor datang jumpa saya mengadu, tetapi dia diarahkan bayar GST sebelum terima bayaran dari kerajaan kerana salah hantar borang, kemudian beri maklumat salah dan maklumat bank yang tidak tepat.

"Ini dipanggi maklumat palsu iaitu tuntutan lebih besar dari jualan atau jumlah projek. Sebab itu mereka kena GST lebih awal," katanya menjawab soalan dari Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) Shah Alam, Khalid Samad pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13, di sini, hari ini.

Khalid dalam soalannya kepada menteri itu mendakwa, menerima rungutan daripada kontraktor Bumiputera kerana terpaksa membayar GST atas invois yang mereka keluarkan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu, walaupun banyak kontrak belum diterima.

Menurut Johari, beliau dan kementerian sentiasa bersikap terbuka untuk membantu terutama berkaitan dengan GST.

Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kerajaan tidak bercadang untuk membatal atau memansuhkan GST.

Ini kerana, pelaksanaan GST akan memudahkan lagi usaha kerajaan hendak menyusun semula sistem cukai kepenggunaan secara lebih telus.

Kata beliau, dalam tempoh sembilan bulan pertama selepas GST dilancarkan April tahun lalu, kerajaan telah mengutip sebanyak RM27.93 bilion dan sehingga September lalu pula berjumlah RM29.34 bilion.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: