Shakira Buang
LIHAT VIDEO DI SINI
Kusaini Kassim, peserta konvoi BERSIH yang ditendang anggota gerakan
Baju Merah dua hari lalu berkata beliau tidak tahu nasib yang bakal
menimpanya jika tidak diselamatkan seorang anggota trafik.
Kusaini, 49 berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada
anggota keselamatan berkenaan yang bertugas di tempat kejadian ketika
itu.
"Nasib baik ada seorang anggota trafik datang selamatkan saya
walaupun agak lambat keluarkan saya dari kumpulan itu. Tapi kalau lambat
lagi tak tahulah macam mana," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menceritakan
kejadian itu, Kusaini berkata beliau dan rakannya menyertai Konvoi
Bersih 5 di sekitar Sabak Bernam Selangor, sebelum memutuskan untuk
pulang awal kerana urusan keluarga.
“Saya hadir dalam program BERSIH tapi saya kena pulang awal kerana
ada majlis keluarga. Dalam perjalanan balik ke rumah saya dari Sabak
Bernam ke Padang Terap saya kena melalui jalan itu (tempat kumpulan Baju
Merah berkumpul)," jelasnya.
Bagi mengelak terlanggar ahli kumpulan terbabit, Kusaini membuat
keputusan memberhentikan motosikal Kawasaki ER6 yang ditunggangnya di
bahu jalan, manakala rakannya sempat berpatah balik.
"Bila saya berhenti tiba-tiba saya terjatuh dan mereka menarik bahu saya, serang saya dan baling telur," kata Kusaini.
Bimbang jumlah anggota Baju Merah
Kusaini berkata beliau bimbang melihat jumlah anggota kumpulan itu
dan membuat keputusan untuk tidak melawan, sebaliknya berharap ada pihak
yang akan membantunya.
"Saya bimbang sebab takut mereka tengah geram," katanya.
Ditanya mengenai tindakan anggota kumpulan itu menendangnya, Kusaini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Susulan kejadian itu, Kusaini membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam dan turut menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Buat masa ini ok, tidak ada apa-apa. Saya ada ke klinik, membuat
‘scan’ x-ray. Saya rasa ok sekarang ini tidak ada apa-apa,” katanya.
Konvoi Bersih 5 di seluruh negara memasuki hari ketiga Sabtu lalu dan mereka berlepas dari 6 lokasi.
Mereka bertolak dari Sungai Petani, Kedah; Kulai, Johor; Kota Bharu,
Kelantan; Teluk Intan, Perak; Bintulu, Sarawak dan Tawau, Sabah.
Perjalanan konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah 7 minggu
anjuran Bersih 2.0 bagi mempromosi perhimpunan Bersih 5 pada 19
November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan