Khamis, 13 Oktober 2016

Guna GST untuk bina rumah mampu milik, kata gabungan pengguna

 
Rakyat tak merasai manfaat membayar cukai walaupun kerajaan mengutip RM27 bilion hasil GST pada 2015, kata CEO Fomca Paul Selvaraj


Paul Selvaraj


PETALING JAYA: Orang ramai sepatutnya merasai manfaat membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata gabungan pengguna.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata cukai itu wajar digunakan untuk menyediakan rumah mampu milik, perluaskan laluan bas, rawatan kesihatan, subdisi untuk penjagaan kanak-kanak serta pendidikan untuk belia dan pasangan baru berkeluarga.

“Rakyat masih belum merasa manfaat membayar cukai kepada kerajaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Fomca Paul Selvaraj kepada FMT.

Beliau diminta pendapat mengenai perbelanjaan hasil daripada GST, cukai pendapatan dan jenis cukai lain oleh kerajaan. Kerajaan mengutip RM27 bilion daripada GST pada 2015. Kerajaan dijangka mengutip RM39 bilion tahun ini.

Selvaraj berkata perkara utama yang dihadapi keluarga baharu adalah mendapatkan rumah mampu milik.

“Cukai itu patut digunakan untuk membina rumah mampu milik, kerana jurang antara pendapatan dan harga rumah terlalu besar. Saya berharap tidak akan ada generasi yang sekadar mampu menyewa.”

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata pasaran perumahan di Malaysia “sangat tidak mampu milik” dengan harga median rumah 4.4 kali pendapatan median isi rumah tahunan. Pasaran “mampu milik” adalah harga median rumah 3 kali pendapatan median isi rumah tahunan.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah laluan bas daripada kawasan perumahan baharu ke kawasan bandar. Memandangkan lebih ramai orang membeli rumah murah yang terletak jauh dari bandar, kerajaan perlu menyediakan perkhidmatan bas yang boleh diharap supaya orang ramai tidak perlu berkereta.

Perkara ketiga pula adalah rawatan kesihatan. Selvaraj memuji sistem rawatan kesihatan kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan yang baik tetapi kerajaan perlu campurtangan mengawal rawatan kesihatan swasta.

“Terlalu mahal. Ia perlu dikawal supaya rawatan mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana,” katanya.

Selvaraj berkata kerajaan perlu agresif mengadakan wacana percuma mendidik pengurusan kewangan kepada golongan belia dan pasangan baru berkahwin bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik. Beliau berharap ini akan membantu mereka berbelanja mengikut kemampuan dan melabur dengan bijaksana.

Tiada ulasan: