Isnin, 3 Oktober 2016

Anak sasterawan negara cedera ditetak

Anak sasterawan negara cedera ditetak
Anak lelaki mangsa turut cedera dalam kejadian itu.


SEREMBAN - Penulis novel yang juga anak kepada sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain dan anak lelakinya cedera ditetak dalam pergelutan bersama tiga penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Lavender Height dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu menyebabkan Ahmad Patria, 48, dan anak lelakinya berusia 16 tahun cedera pada tangan dan kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, SuperiNtendan Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian terdapat lima penghuni di rumah terbabit sedang nyenyak tidur.

"Namun mangsa berusia 48 tahun yang sedang tidur di bahagian ruang tamu terjaga dan mendapati terdapat tiga penjenayah telah memecah masuk rumahnya.

"Mangsa kemudian telah menyergah suspek dan menjerit meminta isterinya yang berada di tingkat atas rumah  menghubungi polis,"katanya.

Menurutnya, telah berlaku pergelutan beberapa minit antara suspek dengan mangsa dan anak lelakinya berusia 16 tahun yang cuba membantu.

Abdul Rahim berkata, isteri mangsa yang menyedari kejadian itu telah menghubungi talian kecemasan dan menekan loceng kecemasan menyebabkan kesemua suspek melarikan diri.

"Pergelutan itu menyebabkan mangsa dan anaknya cedera ditetak dengan parang.

"Siasatan mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap besi yang telah dipotong,"katanya.

Sementara itu katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Salam Senawang untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaan dialami dan tiada kerugian yang dialami dalam insiden itu.

Katanya, usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan: