KUALA LUMPUR: Mahkamah Seksyen di sini hari ini menetapkan 14 November
ini untuk keputusan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli,
bagi dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan audit
1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas peguam
tertuduh, Gobind Singh Deo, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan
menutup kes selepas mendengar keterangan Mohd Rafizi yang merupakan
saksi tunggal pihak pembelaan hari ini.
Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk pihak pembelaan
mengemukakan hujahan bertulis dan 31 Okt untuk pihak pendakwaan membalas
hujahan berkenaan.
Terdahulu, Mohd Rafizi, yang juga naib presiden dan setiausaha agung
PKR memberi keterangan daripada kandang tertuduh. Katanya, beliau tidak
bersalah atas dua tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu dan
memohon agar dia dilepas dan dibebaskan.
Mohd Rafizi berkata ia berikutan perkara asas dalam pertuduhan
terhadapnya iaitu halaman 98 laporan 1MDB tidak dikemukakan dalam
perbicaraan.
"Dengan tiadanya halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB seperti dinyatakan
dalam kertas pertuduhan, saya diprejudiskan dengan amat sangat kerana
tidak boleh merujuk kepada dokumen itu dalam pembelaan saya sepanjang
perbicaraan ini.
"Saya tidak pernah memiliki halaman lengkap muka surat 98 Laporan
Pengauditan 1MDB pada bila-bila masa seperti dinyatakan dalam pertuduhan
terhadap saya.
"Oleh itu, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak bersalah
untuk kedua-dua kesalahan yang saya hadapi dalam perbicaraan ini,"
katanya. Gobind kemudian memohon mahkamah untuk memanggil semula saksi
pendakwaan pertama kes itu iaitu Timbalan Pengarah Audit di Jabatan
Audit Negara, Nor Salwani Muhammad @ Mat.
Ketika pemeriksaan balas oleh Gobind, Nor Salwani, 49, bersetuju bahawa
dokumen yang bertanda 'P13' yang merupakan bahan bukti dalam kes itu
adalah sebahagian daripada halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB.
Saksi itu turut bersetuju bahawa ada beberapa perenggan dalam halaman
98 yang tidak terkandung pada halaman terakhir 'P13' berkenaan.
Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd
Saad, Nor Salwani berkata setelah menyemak 'P13' beliau bersetuju ia
adalah sebahagian dari halaman 98 laporan 1MDB yang asal.
Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen,
Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lalu, mengikut Seksyen
8(1)(c)(iii) OSA 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika
sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan
berkenaan dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas,
mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara
sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan