Selasa, 30 Ogos 2016

Warga Felda perlu desak MP sokong pindaan RUU 355


 
Oleh NARAZA MUDA


Ini soal memartabatkan agama Islam. Justeru itu warga Felda yang berada di 54 kawasan parlimen seluruh negara, sebahagian besarnya adalah orang Melayu dan beragama Islam perlu nyatakan sokongan agar ahli parlimen (MP) yang mereka undi semasa PRU13 lalu menyokong pindaan akta ini.

Kebersamaan dalam hal ini sangat perlu agar warga Felda terus utuh, kekal keharmonian dan mendapat redha Allah. Undi kita kepada mereka sewajarnya kita gunakan dengan menyatakan harapan kita. Tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada mana-mana parti. Ini soal hukuman menurut syariat Allah.

Pindaan ini bukan pertama kali berlaku. Parlimen Malaysia pernah meminda akta ini pada tahun 1984 dan juga tahun 1989. Jadi kenapa untuk pindaan 2016 ini perlu ada berbelah bahagi, tidak bersetuju, bahkan menentangnya?

Kita kena sedar kedudukan ahli parlimen yang beragama Islam hanya tinggal 135 orang sahaja daripada 222 kerusi yang mewakili berbagai komponen parti politik. Kita mesti mengambil ruang dan peluang ini agar kita bersama-sama mendukung untuk memartabatkan perundangan  Islam.

Pindaan ini bukan pindaan Rang Undang-Undang Hudud sepertimana disalahtaksirkan oleh segelintir orang, juga bukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan atau Enakmen Qisas, Hudud dan Takzir Terengganu.

Pindaan itu bakal meletakkan Mahkamah Syariah lebih tinggi dan tidak seperti sekarang seperti terhina kerana mempunyai bidang kuasa yang sangat rendah berbanding mahkamah lain.

Cuba kita bandingkan kuasa hukuman jenayah dimiliki Mahkamah Majistret iaitu 5 tahun penjara, RM10,000 denda dan 12 rotan, sedangkan Ketua Hakim Syarie di Mahkmah Tinggi Syariah hanya mempunyai kuasa 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan.

Kita warga Felda yang beragama Islam perlu memastikan Ahli Yang Berhormat kita semua melaksanakan satu lagi usaha yang boleh memperkukuhkan Mahkamah Syariah kita.

Beruntunglah pengundi Parlimen Temerloh, Dungun dan Kuala Nerus kerana ahli-ahli parlimen ini sudah pasti akan menyokong dan mengundi bila bacaan Pindaan Rang Undang-Undang dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

Justeru itu, kepada seluruh warga pengundi Felda di 51 kawasan Parlimen yang lain dapat memastikan wakil mereka dapat melaksanakan sokongan dari harapan kita umat Islam warga Felda. Sampaikanlah dengan apa jua cara kepada Ahli Yang Berhormat kita, berjumpa mereka, nyatakan hasrat dan kewajipan tugasan mereka agar usaha kita semua menjadi saksi di hari perkiraan amalan kita nanti.

*  Penulis ialah Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat.


Tiada ulasan: