Rabu, 31 Ogos 2016

UMNO Bandar Tun Razak minta kerusi MCA pada PRU14

 
 
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berucap pada majlis perasmian UMNO bahagian Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL (ILDB), Cheras. foto FAREEZFADZIL, 31 OGOS 2016
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berucap pada majlis perasmian UMNO bahagian Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL (ILDB), Cheras. foto FAREEZFADZIL, 31 OGOS 2016
 
 
Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar meminta pucuk pimpinan parti meletakkan calon dari UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi Parlimen di situ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

BN secara tradisinya meletakkan calon dari parti komponen MCA untuk mewakili BN dalam PRU.

“Bukan kita menafikan hak MCA untuk bertanding di kawasan tersebut tetapi memandangkan majoriti pengundinya adalah orang Melayu, ada baiknya UMNO diberi peluang untuk bertanding di situ.

“Kita amat menghormati parti komponen tetapi memandangkan telah dua penggal BN terpaksa menerima kekalahan dengan majoriti yang sangat besar, maka perubahan mesti dilakukan pada PRU-14,” katanya
ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di Cheras pagi tadi.

Menurut Rizalman, walaupun tidak menjanjikan kemenangan akan memihak kepada BN jika calon UMNO dijadikan taruhan, namun keyakinannya lebih tinggi berbanding calon MCA.

“Kita dari Bandar Tun Razak merayu hari ini dan terserahlah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan terbaik,” ujarnya.

Jelas Rizalman lagi, sepanjang pembangkang menguasai Bandar Tun Razak, tidak ada satu pun yang besar dilakukan untk rakyat sebaliknya UMNO yang banyak menyelesaikan semua masalah dan pembangunan yang dihadapi rakyat.

“Ketepikan soal parti kerana yang penting sekarang adalah kemenangan dan untuk menang, semangat setiakawan semua parti komponen BN amat diperlukan,” katanya.

Pada PRU-13, calon MCA, Tan Kok Eng klah kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merebut kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti hampir 15,000 undi. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: