Ahad, 14 Ogos 2016

Tindakan kepada ahli jika sertai Bersatu

Tindakan kepada ahli jika sertai Bersatu
Hishammuddin (tengah) bersama Ketua Umno Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim (kiri) pada sidang media hari ini.


BATU GAJAH - Mana-mana ahli Umno yang terlibat atau dikaitkan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dikenakan tindakan tegas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya memberi amaran tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana ahli yang menyokong atau terlibat secara langsung.

Menurutnya, bagaimanapun ia perlu dipantau terlebih dahulu untuk mengenalpasti berapa ramai ahli bersikap sedemikian.

"Sudah tentu kita akan ambil tindakan jika ada di antara mereka yang betul-betul terlibat, bukannya sebelum ini kita tidak pernah berhadapan dengan perpecahan seperti tertubuhnya Semangat 46 dan PKR.

"Bagaimanapun perkara ini perlu disiasat menyeluruh untuk kenal pasti dan mengesahkan setiap nama ahli yang didakwa terlibat terlebih dahulu agar tidak menganiaya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu Gajah di sini, hari ini.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa ramai bekas ahli Umno ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia tetapi tidak bersedia menyatakan sokongan secara terbuka.

Tambah Hishammuddin lagi, dalam sesuatu parti politik sudah pasti tidak dapat sokongan 100 peratus dan sudah pasti akan ada individu yang akan mengambil kesempatan oleh itu apa pun tindakan yang ingin diambil perlu berhati-hati.

Katanya lagi, ahli Umno perlu terus fokus terhadap perpaduan sesama ahli dan usaha memartabatkan parti dalam apa jua keadaan.

"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini, perpaduan dan muafakat dalam parti keramat ini perlu diutamakan.

"Itu sebabnya para perwakilan perlu menumpukan usaha dalam menepis tohmahan dan serangan pihak pembangkang agar rakyat dapat maklumat yang tepat," katanya.

Tiada ulasan: