Rabu, 24 Ogos 2016

Siapa untung pelaksanaan transformasi industri teksi?

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 





Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tidak sama sekali menafikan implikasi penggunaan teknologi terhadap perubahan industri teksi, tetapi adakah Program Transformasi Industri Teksi boleh membantu pemandu-pemandu teksi konvensional?

Adakah 11 program yang diusulkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyinggung pemasalahan sebenar dalam kalangan pemandu teksi konvensional?

Antara isu yang membelenggu pemandu teksi adalah kos struktur yang terpaksa ditampung disebabkan oleh sistem sewa-beli atau pajakan dengan syarikat pengusaha teksi.

Jika purata sehari kadar sewa yang perlu dibayar kepada syarikat adalah RM50, maka jumlah sewa sahaja yang perlu dibayar mencecah sehingga RM1,200 (24 hari bekerja). Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pendapatan pemandu teksi konvensional sekarang telah terjejas teruk setelah penggunaan Uber dan Grab.

Pemandu teksi konvensional yang majoritinya menggunakan sistem sewa-beli atau pajakan ini sekarang bergelut dengan persaingan yang terlalu kompetetif. Kadar sewa yang tinggi tidak termasuk bayaran NGV, Puspakom dan lain-lain telah menyebabkan pendapatan mereka semakin susut.

Mereka terpaksa membayar kos yang tinggi kerana ingin mendapatkan sesuap nasi sedangkan pemandu Uber dan Grab hanya dikenakan potongan bayaran sebanyak 20 peratus atas jumlah pendapatan yang diperolehinya. Lebih bebas dan kurang tekanan dalam berkerja.

Selain itu, ramai pemandu teksi konvensional mengeluh dengan pemeriksaan berkala yang terpaksa dilakukan di Puspakom. Antaranya, disebabkan oleh kadar bayaran pemeriksaan termasuk bagi kali kedua dan tiada peluang untuk memilih bengkel selain Puspakom. Walhal, banyak juga teksi di sekitar Kuala Lumpur yang dilihat kurang baik keadaannya. Oleh itu, SPAD harus melihat senario ini supaya mutu perkhidmatan teksi mencapai piawaian yang sebenarnya.

DPPWP berharap Program Transformasi Industri Teksi mesti dilaksanakan segera secara berperingkat untuk mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pemandu teksi hari ini.

Kami sangat prihatin dengan nasib individu-individu pemandu teksi terutamanya dalam golongan peringkat umur 45 tahun ke atas kerana terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup di Kuala Lumpur. Mereka sukar untuk adaptasi dengan perubahan industri, akhirnya mereka sendiri akan terus terpinggir. - HARAKAHDAILY

*  Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: